10 Motosikal Terbakar Di Flat

GEORGE TOWN: Sepuluh buah motosikal di Flat Sri Impian, Bandar Baru Ayer Itam di sini terbakar awal Jumaat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong K. Jevataran berkata sepasukan enam anggota Bomba dan Penyelamat dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.40 pagi.

"Bomba dapat mengawal api daripada merebak ke tempat lain dan memadamkan kebakaran dalam tempoh lima minit," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan daripada pemilik kenderaan berhubung kejadian itu.

"Siasatan masih dibuat bagi mengenal pasti punca kebakaran. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Motosikal Terbakar Di Flat

Artikel Lain