suria

Raja Muda Perlis Ketuai Program Kembara Inovasi Sosial

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai program Kembara Inovasi Sosial 2011 dengan menunggang motosikal sejauh lebih 50 kilometer bagi bertemu dengan anggota pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Program yang bermula petang semalam dan berakhir malam tadi turut disertai Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama 100 anggota konvoi lain yang terdiri daripada anggota Regimen 504 Askar Wataniah dan pemimpin masyarakat kawasan Chuping.

Turut menyertai konvoi yang bermula di Istana Arau itu ialah Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Perlis, Mansor Jusoh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Chuping.

Program tersebut dianjurkan bersama oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Majlis Keselamatan Negara bagi menyampaikan sumbangan kuih-muih sempena sambutan Hari Krismas kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas di perbatasan.

Bertitah kepada anggota pasukan keselamatan di Markas Taktikal Batalion Ke-4 Regimen Renjer Diraja di Kem Bukit Tangga, Kedah, baginda yang juga Pengerusi YTSP bertitah tentera darat menuntut setiap anggotanya memiliki ciri-ciri profesional dan bertaraf kelas pertama dalam mempertahankan negara.

"Antara ciri-ciri yang dimaksudkan adalah keberanian, kesetiaan, disiplin, kesabaran, kecergasan, daya tahan serta kehormatan diri," titah baginda yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah.

Di samping itu, menurut baginda setiap seorang anggota tentera yang profesional perlu sentiasa memiliki "Etos Ketenteraan" tanpa mengira latar belakang dan agama seperti kepercayaan kepada tuhan, disiplin maruah dan integriti.

Baginda menyampaikan 86 bungkusan kepada anggota yang bertugas di kem tersebut manakala 111 bungkusan lagi diserahkan di pos kawalan sempadan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain