suria

Dan Begitu Juga Dengan Mingguan MStar...

AKHBAR Mingguan mStar yang diterbitkan bermula 28 Februari 2010 bersama-sama Sunday Star akan berada di pasaran buat kali yang penghabisan pada 25 Disember ini.

Selepas tarikh tersebut, mStar hanya akan muncul dalam bentuk digital atau dalam talian (online) sepenuhnya.

Mahu tidak mahu, ini adalah hakikat kehidupan. Trend atau kecenderungan pembaca di negara kita sepertimana negara-negara lain juga semakin berubah dari format konvensional (dalam bentuk akhbar yang dicetak) kepada format digital atau pun dalam talian (bentuk akhbar dalam alam maya).

Generasi hari ini mengaitkan gaya hidup mereka dengan gajet yang trendi sekaligus memperolehi laporan berita, rencana, wawancara, paparan semasa dan lain-lain lagi bersama-sama gajet dalam bentuk tablet serta telefon pintar.

Oleh yang demikian, mStar harus bergerak pantas untuk terus relevan pada masa hadapan dan satu-satunya cara untuk kekal sedemikian ialah dengan berubah kepada format digital sepenuhnya sebagaimana yang diingini oleh generasi masa depan kita.

Bagaimana pun janganlah bersedih. Bagi peminat dan pembaca Mingguan mStar, anda masih boleh terus mengikuti ruangan-ruangan kesukaan anda dengan melayari mStar Online yang telah pun sedia wujud sekarang.

Mulai tahun hadapan, beberapa ruangan popular Mingguan mStar akan dipindahkan ke mStar Online. Dan ini bermakna, kandungan mStar Online akan dipelbagaikan ekoran penyusunan semula mStar menjadi satu produk yang lebih dinamik dan semasa secara digital.

Misalnya, segmen OopStarz yang popular dalam Mingguan mStar akan dipindahkan ke mStar Online termasuklah ruangan ‘Zoom’ ; ’10 Soalan’; ‘Ringkas, Padat & Peribadi’ serta gosip dan paparan semasa artis tempatan dan juga luar negara.

Begitu juga dengan ruangan laporan ‘Semasa’ dan ‘Peristiwa’, ‘Seni Menjamu Selera’ ; ‘Gaya Hidup Trendi’ ; ‘ Dunia Fesyen’ ; ‘Imej & Etiket’ ; ‘Diari Pengembara’ ; ‘Permotoran’ ; Personaliti dan Ilustrasi Sukan’ ; ‘Personaliti & Kerjaya’ dan lain-lain lagi.

Malah, kita akan memperkukuhkan ruangan hiburan mStar dengan laporan-laporan harian yang lebih bersifat dinamik, interaktif dan pantas - sesuatu yang tidak dapat kami lakukan selama ini bersama Mingguan mStar kerana ciri-ciri mingguannya yang terhad.

Dan satu-satunya kelebihan alam maya ialah ruangnya yang tidak terhad malah pantas - tidak perlu tunggu hari esok untuk mencetak akhbar. Inilah yang diingini oleh para pembaca masa kini dan inilah gaya hidup masa kini.

Membayar Untuk Keselesaan...

HUJUNG minggu baru-baru ini penulis telah mengambil peluang meninjau apa yang terdapat di sebuah universiti swasta yang terkenal di ibu kota atas permintaan anak lelaki penulis yang ingin melihat kehidupan di kolej swasta berbanding kehidupan di kolej awam yang sedang diikutinya sekarang.

Universiti ini terletak di tepian sebuah tasik buatan manusia yang tenang lagi mengasyikkan. Terdapat beberapa ekor itik sedang berenang di tepian tasik tersebut. Kami masuk ke kampus universiti ini seperti memasuki sebuah gedung membeli-belah yang terkenal dan popular.

Di sana-sini terdapat ruang kafe dan makan yang trendi yang sememangnya menjadi pilihan muda-mudi masa kini. Hostel mereka kelihatan seperti hotel bertaraf empat atau mungkin lima bintang.

Tidak ada pengawal yang mengawal lalu lalang atau pintu masuk ke kampus ini. Malah tidak ada pengawal yang meminta kad pelajar atau menegur pelajar yang berambut panjang.

Walaupun begitu tidak ada pula para pelajarnya yang kelihatan selekeh atau comot sebaliknya mereka kelihatan santai namun bergaya dan trendi. Universiti ini juga tidak didominasi oleh satu kaum.

Penulis dapat perhatikan bahawa komposisi kaum agak sekata dan pelbagai dengan tambahan pelajar luar negara yang juga pelbagai.

Rekabentuk kampusnya yang sangat moden dan terkini ternyata menjadi daya tarikan pelajar untuk ke sini. Teater kuliahnya juga sangat menarik malah kami sempat masuk mengikuti kuliah tanpa disedari oleh sesiapa pun.

Menurut anak penulis, kurikulum dan subjek yang disenaraikan tidak jauh beza dengan universiti awam.

Jadi apa yang menyebabkan ia tersangat mahal? Jawapannya mungkin untuk keselesaan dan suasana yang teruja dan tenaga pengajar yang bertaraf dunia dan suasana yang bertaraf dunia.

Dan ini hanya mampu dinikmati oleh mereka yang mempunyai kekayaan dan kewangan yang selesa dan kukuh. Bayangkan, untuk mengikuti program diploma komunikasi selama enam semester atau tiga tahun memerlukan seseorang pelajar itu membayar RM49,550 atau lebih kurang hampir RM10,000 semester.

Bagi program ijazah sarjana muda komunikasi pula, yuran keseluruhannya berjumlah RM76,000 hingga RM77,000. Manakala program ijazah sarjana muda kejuruteraan pula mencecah sehingga RM122,000 iaitu pengajian untuk selama lapan semester.

Program undang-undang pula berjumlah RM84,000 selama enam semester atau RM12,000 hingga RM14,000 untuk satu semester. Itulah antara beberapa contoh tentang yuran pengajian di universiti ini.

Jumlah tersebut belum lagi termasuk bayaran untuk hostel, makanan, buku dan lain-lain lagi. Ternyatalah tanpa tajaan tidak ada ibu-bapa yang mampu menghantar anak mereka ke sini melainkan dari kalangan keluarga yang berada sahaja.

Tidak dinafikan suasana pembelajaran di sini memang ada ‘kelas’ dan seronok. Tetapi ia hanya untuk yang berkemampuan. Kini Kerajaan juga telah mula menghantar pelajar-pelajar tajaannya ke universiti seperti ini.

Mungkin suatu masa nanti tidak perlu lagi menghantar pelajar tajaan ke luar negara. Memadai di sini kerana suasana pembelajarannya juga seperti di luar negara kerana walaupun mahal ia masih tidak semahal menghantar mereka belajar di luar negara.

Artikel Lain