suria

Monster Malaysia Lancar Aplikasi Rantaian Profesional Dalam Facebook

KUALA LUMPUR: Portal penawaran pekerjaan, Monster Malaysia pada Khamis melancarkan BeKnown, aplikasi rantaian profesional yang dibangunkan bagi membolehkan pengguna Facebook mewujudkan rantaian profesional pada platform sosial paling popular di dunia itu.

Dalam satu kenyataan, Monster Malaysia berkata menerusi BeKnown, pengguna boleh mengenal pasti dan berhubung dengan mudah bersama rakan profesional menerusi pelbagai sumber dan mengembangkan rantaian profesional masing-masing, sekaligus mengembangkan identiti profesional secara dalam talian dan mengetahui lebih banyak peluang kerjaya lain.

"BeKnown kini boleh dimuat turun pada http://apps.facebook.com/beknown dalam 19 bahasa, dan boleh diakses oleh mana-mana pengguna Facebook," katanya.

Mengulas mengenai inisiatif terkini Monster itu, Pengarah Urusan Monster.com (India/Timur Tengah/Asia Tenggara, Sanjay Modi berkata pelancaran BeKnown bertujuan memenuhi keperluan pencari kerja dan majikan dengan menambah rantaian profesional dalam pengambilan secara dalam talian, mencari pekerjaan dan kit perkakasan pengurusan kerjaya.

Hari ini lebih 750 juta penduduk di dunia menggunakan Facebook, manakala 97 peratus daripada syarikat Fortune 500 menggunakan Monster sebagai sumber untuk mencari bakat.

Di Malaysia, lebih 11.8 juta orang merupakan pengguna aktif Facebook. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain