suria

Kerajaan Negeri Hutang RM82.53 Bilion Bagi 5 Tahun Sejak 2006

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara pada Khamis diberitahu jumlah hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan yang tertunggak sejak 2006 hingga tahun lepas ialah sebanyak RM82.530 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, hutang itu adalah pinjaman yang disalur kepada kerajaan negeri bagi membiayai projek pembangunan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Antara projek terbabit ialah projek bekalan air, perumahan awam kos rendah, projek pembetungan dan penyediaan tapak infrastruktur industri, katanya menjawab soalan Senator Dr S. Ramakrishnan, di sini.

Awang Adek berkata, antara langkah yang diambil kerajaan Pusat untuk mengutip semula hutang itu ialah dengan mengeluarkan notis bayaran balik kepada kerajaan negeri sebanyak dua kali, iaitu dalam tempoh enam bulan sebelum tarikh matang pembayaran dan seterusnya notis kedua bagi tempoh dua bulan sebelum tarikh matang.

"Sekiranya kerajaan negeri masih gagal melunaskan hutang, maka surat peringatan bayaran balik pinjaman dikeluarkan kepada kerajaan negeri dalam tempoh 30 hari selepas tarikh matang pembayaran," katanya.

Beliau berkata, pinjaman baru bagi kerajaan negeri yang mempunyai tunggakan tinggi akan ditahan sehingga cadangan penyelesaian dikemukakan atau bayaran balik tunggakan pinjaman dibuat.

"Penjadualan atau pengstrukturan semula pinjaman dibuat sekiranya kerajaan negeri menghadapi masalah kewangan dan tidak berupaya membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata, kerajaan pusat juga akan membuat potongan daripada pemberian geran tahunan kepada kerajaan negeri sebagai usaha mendapatkan bayaran balik pinjaman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain