suria

Lelaki Pecahkan Cermin Kereta Bekas Teman Wanita Kerana Cemburu

KULIM: Seorang lelaki sanggup menunggang motosikal sejauh 30 km mencari bekas teman wanitanya yang dikatakan sedang bersama dengan kekasih barunya dan bertindak nekad memecahkan cermin kereta milik wanita itu di Taman Berjaya di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata dalam kejadian kira-kira 11 malam tadi, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dari Kepala Batas, Seberang Perai Utara itu bertindak memecahkan cermin belakang, tingkap pintu belakang dan pintu hadapan kanan kereta tersebut.

Katanya suspek dalam keadaan marah malah turut merosakkan bahagian badan dan bonet hadapan kereta Toyota Camry milik bekas teman wanitanya itu yang diparkir di tepi jalan pintu pagar ke rumah tersebut.

"Polis telah mengenal pasti lelaki tersebut dan akan bertindak menahannya dengan segera," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian di sini Selasa.

Sementara itu, pemilik rumah yang juga bapa kepada teman lelaki baru wanita itu Lim Ah Lek atau Alex Lim, 52, berkata ketika kejadian dia dan isterinya yang tinggal di rumah tersebut sedang tidur dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat kesan ketukan benda keras membuatkan dia terjaga.

"Apabila saya lihat melalui jendela rumah, saya dapati ada seseorang yang sedang melakukan sesuatu perkara yang tidak baik pada kereta di tepi jalan hadapan rumah saya itu lalu saya menelefon Pertubuhan Prihatin Kepartian Masyarakat (PPKM) Kulim untuk mendapatkan bantuan daripada mereka," katanya.

Sementara itu pemilik kereta berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 27, dari Bukit Mertajam, yang melaporkan kejadian itu kepada polis di sini awal pagi tadi, berkata ketika kejadian dia bersama anak lelaki Alex Lim, Lim Jun Lai, 26, berada dalam rumah tersebut.

"Kami hanya menyedari bahawa cermin kereta saya telah dipecahkan setelah suspek beredar dari tempat ini lalu saya pun melaporkan kejadian kepada polis," katanya.

Bagaimanapun kerugian yang dialami mangsa masih belum ditaksirkan lagi. - BERNAMA

Artikel Lain