KP Terengganu Kesal Laporan Akhbar Kes Rompakan Kedai Emas Di Wakaf Tapai - Semasa | mStar

KP Terengganu Kesal Laporan Akhbar Kes Rompakan Kedai Emas Di Wakaf Tapai

KUALA TERENGGANU: Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa menafikan laporan sebuah akhbar tabloid tempatan kononnya pistol yang digunakan dalam rompakan kedai emas di Wakaf Tapai 28 November lepas adalah senjata yang dilupuskan.

Kesal dengan dakwaan itu, beliau berkata siasatan mendapati pistol berkenaan adalah yang dilaporkan hilang oleh seorang anggota polis semasa penugasan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang, tiga tahun lalu.

Menurutnya, tidak berlaku kegiatan penyewaan senjata api yang akan dilupuskan dan disewakan kepada anggota bagi tujuan jenayah sebagaimana dilaporkan tabloid itu.

Menurut akhbar itu, tiga anggota polis antara empat yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menyewakan senjata api jenis revolver 38 kepada pihak tertentu yang kemudian digunakan untuk melakukan jenayah seperti rompakan.

Ia mendakwa senjata berkenaan disewakan antara RM2,000 hingga RM5,000 dan bayaran dilakukan secara komisyen menggunakan wang hasil rompakan.

Beliau berkata, jika pihak media mengetahui sesuatu maklumat berhubung sesuatu kes mereka harus merujuk kepada pihak tertentu dan bukan terus melaporkan di akhbar tanpa pengesahan daripada pihak polis terlebih dahulu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

RUM Cadang KTMB Dijadikan Agensi Kerajaan

default image

Naib Presiden Pas Nafi Nik Aziz Nazak

Artikel Lain