suria

Pemandu Lori, Kelindan Nyaris Maut Lori Bawa Muatan Kelapa Terbakar

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori dan kelindannya nyaris maut apabila lori sarat dengan muatan kelapa yang dibawanya tiba-tiba terbakar di Kilometer 145 Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Ladang Tabung Tentera, Cheneh, Kemaman, dekat sini awal pagi Selasa.

Penolong Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Negeri Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku semasa Zahari Awang Hamat bersama kelindan lori itu dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Kuala Terengganu pada kira-kira pukul 3.15 pagi.

Beliau berkata, apabila sampai di tempat kejadian lori yang itu terbakar, dan ia dipercayai berpunca dari tayar belakang lori berkenaan.

"Zahari bertindak memberhentikan lorinya di tepi jalan setelah melihat ada kepulan asap keluar daripada tayar belakang lori itu dan terus menelefon bomba," katanya ketika dihubungi Bernama.

Rozairi berkata, sebuah jentera bersama empat anggota bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan pada kira-kira pukul 3.34 pagi dan ketika sampai, hampir 50 peratus lori treler bersaiz 40 kaki itu sudah terbakar.

"Kami mengambil masa hampir setengah jam untuk mengawal kebakaran kerana lori itu agak besar dan sarat dengan kelapa, dengan hampir separuh daripada kelapa itu hangus," katanya.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain