suria

Benteng Tebatan Banjir Sg Jelok Yang Tidak Siap Punca Banjir Kilat Kajang

Banjir kilat menenggelami bandar Kajang pada petang Jumaat lalu.
Banjir kilat menenggelami bandar Kajang pada petang Jumaat lalu.
Banjir kilat menenggelami bandar Kajang pada petang Jumaat lalu.

GEORGE TOWN: Benteng tebatan banjir yang tidak siap dibina di Sungai Jelok, Kajang adalah punca mengapa bandar itu dilanda banjir kilat yang sangat luar biasa Jumaat lalu.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Saliran dan Perparitan, Datuk Ahmad Husaini Sulaiman kepada para pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata, terdapat 200 meter benteng tebatan banjir di sungai tersebut yang belum siap dan ini menyumbang kepada banjir kilat yang tidak dijangka itu akibat hujan yang terlalu lebat.

Menurut beliau, benteng tersebut adalah setinggi 2 meter dan sepanjang 1 km di sepanjang sungai itu tetapi masih terdapat bahagian pada benteng itu yang belum siap dan ini menyumbang kepada berlakunya banjir kilat.

“Kita dapati apabila air sungai itu melimpah, ia keluar dan memasuki bandar Kajang menerusi laluan yang belum siap itu," katanya sambil berkata, hujan lebat daripada biasa juga turut menjadi punca mengapa air pada Sungai Jelok melimpah.

Ahmad Husaini bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapannya pada Persidangan Pengurusan Sungai Antarabangsa Yang Ke-3 di Resort dan Spa Shangri-La Rasa Sayang di Batu Ferringhi.

Adalah difahamkan, sebahagian daripada benteng tebatan banjir di Sungai Jelok Kajang itu tidak dapat disiapkan kerana 21 buah gerai sementara yang dibina oleh Majlis Perbandaran Kajang di atas kawasan rezab sungai itu tidak boleh dipindahkan kerana perjanjian yang telah ditandatangani di antara pihak majlis dengan para peniagaan berkenaan.

Banjir kilat yang melanda bandar Kajang itu berlaku selepas hujan lebat selama tiga jam tanpa henti dan merupakan yang terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Pada sesetengah kawasan, air melimpah sehingga 1 meter tinggi.

“Apa yang kami boleh lakukan buat masa ini ialah memperbaiki laluan di Sungai Jelok,” kata Ahmad Husaini.

Di samping itu, Ahmad Husaini berkata, jambatan yang merentasi Sungai Jelok berhampiran Pasar Kajang yang terlalu rendah juga menyumbang kepada sekatan aliran air yang sempurna sehingga menyebabkannya melimpah masuk ke kawasan bandar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain