suria

Mukhriz Gelar Kerajaan Pembangkang 'Kemere' Kerana Tiada Daya Usaha Bantu Rakyat

KODIANG: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir menggelarkan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang sebagai "kemere" kerana tidak mempunyai daya usaha untuk membantu rakyat keluar dari tekanan hidup kerana mereka hanya tahu mengkritik.

Katanya ini kerana kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang seharusnya bersama kerajaan pusat menyelesaikan masalah rakyat.

"Mereka tidak bagi buah fikiran cara terbaik untuk diselesaikan pada masa rakyat terbeban dengan bermacam-macam masalah sebaliknya hanya tahu mengkritik program kerajaan BN walaupun ia hanya perkara remeh-temeh.

"Inilah bezanya pendekatan kerajaan BN dengan parti pembangkang dalam usaha meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ke-15, di Padang Sera, Jerlun, di sini, Ahad.

Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata kewujudan KR1M tidak akan membunuh kedai-kedai runcit atau mewujudkan persaingan tidak sihat malah ia membantu pengusahanya mendapat bekalan lebih mudah, harga murah dan keuntungan berpatutan.

Katanya kerajaan mahu mewujudkan satu sistem pengedaran produk berkualiti berharga murah melalui KR1M supaya orang ramai dapat membeli barangan asas pada harga terkawal dan berpatutan dan tidak bertujuan menanggung subsidi harga barangan.

KR1M adalah usaha murni kerajaan BN sebaliknya menjadi amalan pembangkang menjadikannya satu polemik supaya dapat mengkritik dan mempolitikkan apa saja usaha BN walaupun ia dilaksanakan demi kebaikkan rakyat, kata Mukhriz.

"Rakyat menerima tempias kenaikan harga barang kesan dari ekonomi dunia yang lembab walaupun ekonomi dalaman negara baik tetapi kerana perkara yang berlaku di luar kawalan seperti kenaikan harga minyak memberi kesan secara langsung," katanya.

Menurutnya rakyat cukup matang untuk menilai usaha kerajaan yang memberi manfaat kepada mereka.

Mengenai kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang memberi penekanan setiap produk memenuhi piawaian kesihatan dipatuhi, Mukhriz berkata produk KR1M memenuhi syarat tersebut dengan baik.

"Masalah yang berlaku baru-baru ini hanyalah pelabelan tetapi selepas diletakkan pelekat kita sudah menyelesaikan untuk jangka masa pendek, ini bukan isu kritikal yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna," jelasnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan yang juga Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr Ameer Ali Mydin. - BERNAMA

Artikel Lain