suria

Umno Kedah Tidak Lagi Lesu Untuk Kembali Berkuasa

ALOR SETAR: Sejak dahulu lagi, Kedah dikuasai Umno dan Barisan Nasional (dahulunya Perikatan) tetapi keadaan berubah selepas pilihan umum ke-12 pada 2008 apabila pakatan pembangkang diterajui Pas menang dan membentuk kerajaan negeri.

Ramai anggota Umno sendiri terkejut dengan kekalahan parti mereka kerana walaupun Pas memang diakui kuat di Kedah, rakyat masih memberi mandat kepada Umno dan BN untuk menerajui kerajaan negeri apabila tiba saja pilihan raya.

Faktor utama yang dikenal pasti sebagai antara punca utama kekalahan itu adalah perbuatan sabotaj anggota Umno sendiri selain pemilihan calon yang salah serta beberapa faktor lain yang hampir kesemuanya berkisar kepada masalah dalaman dan bukan disebabkan kekuatan lawan.

Kalah pada pilihan raya umum ke-12 dan seterusnya hilang kuasa menerajui kerajaan negeri adalah sesuatu yang sukar diterima oleh Umno Kedah memandangkan di banyak kawasan Parlimen, bilangan anggota Umno yang menjadi pengundi melebihi 50 peratus daripada jumlah pengundi.

Kekalahan itu juga menyebabkan Umno Kedah dilihat sebagai lesu dan lemah semangat untuk bangkit bagi kembali menerajui Kedah.

Kini lebih tiga tahun sudah berlalu.

Menyedari akan sukarnya untuk memberi khidmat kepada rakyat sebagai pembangkang, Umno Kedah telah memberi tumpuan kepada usaha "membersihkan" parti daripada masalah dalaman terutama di peringkat akar umbi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata untuk memenangi semula Kedah, faktor paling penting adalah semua anggota Umno perlu menyokong calon yang dipilih bagi pilihan raya nanti walaupun calon itu bukannya individu pilihan mereka.

Beliau mengakui bahawa jika dahulu, anggota Umno sendiri tidak menyokong calon Umno dan BN sehingga menyumbang kepada kekalahan pada 2008 tetapi bagi memastikan Umno dan BN menang pada pilihan raya umum akan datang, masalah itu perlu ditangani dan anggota Umno sendiri perlu berubah.

"Calon yang dipilih oleh parti, mereka kena terima. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memastikan calon Umno dan BN menang.

"Jika tidak kita akan kekal sebagai pembangkang. Ketua bahagian walaupun dia tidak menjadi calon, dia kena ikhlas sebab dia yang akan jadi pengarah pilihan raya," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di sini.

Ahmad Bashah berkata dahulu ramai anggota Umno mungkin tidak sedar mengenai kesan tindakan mereka itu tetapi kini ramai pemimpin dan anggota Umno di Kedah telah menyatakan kesediaan mereka untuk memastikan kemenangan Umno dan B Nmelebihi kepentingan mereka.

Katanya selepas lebih tiga tahun menjadi pembangkang, kini beliau dapat melihat banyak perubahan dalam kalangan pemimpin dan anggota Umno di Kedah dengan komitmen di bahagian-bahagian cukup jelas apabila semakin banyak program yang dijalankan untuk membuktikan Umno dan BN masih parti terbaik dalam membantu rakyat.

"Program di bahagian-bahagian kita buat hampir setiap minggu. Ini selaras dengan Program Touch Point iaitu berjumpa rakyat dan beri bantuan. Bukan sahaja Umno tetapi juga parti komponen BN," katanya.

Mengenai dakwaan kononnya Umno Kedah lesu selepas kalah pilihan raya lepas, beliau mengakui semangat anggota parti agak lemah ketika mula-mula kalah dahulu tetapi kini ia sudah banyak berubah.

Katanya berbanding dengan negeri-negeri pembangkang yang lain di mana Umno banyak "menyerang" kerajaan negeri, situasi di Kedah berbeza kerana ada tindakan yang dilakukan Umno di negeri lain, tidak sesuai di Kedah.

"Budaya setiap negeri lain. Di Kedah kita tidak boleh terlalu menghentam kerana kalau terlalu ekstrem akhirnya rakyat tidak suka. Kita tidak akan serang jika bukan isu besar. Pendekatan kita lebih kepada program masyarakat," katanya.

Mengenai Perhimpunan Agung Umno dari 29 November hingga 3 Disember ini, Ahmad Bashah berharap ucapan Presiden nanti akan menjadi pegangan anggota Umno Kedah untuk meneruskan komitmen bagi memenangi semula negeri itu.

"Perhimpunan kali ini mungkin menjadi yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang. Momentum kali ini boleh dipertingkatkan lagi dan dilaksanakan dengan lebih baik. Harap ahli-ahli Umno dapat terima saranan daripada perhimpunan agung itu untuk dilaksanakan di Kedah.

Sejak Kedah diperintah kerajaan sedia ada, pembangunan di Kedah tidak seberapa, tiada yang baru," katanya.

Naib Ketua Puteri Umno, Shahanim Mohd Yusoff, pula berkata berbanding 2008, Umno Kedah kini berada pada kedudukan lebih baik untuk menawan semula Kedah.

Katanya Umno kalah pada pilihan raya lepas kerana banyak sebab dan antara sebab yang perlu diberikan perhatian adalah ramai ahli Umno yang tidak keluar mengundi kerana merasakan ketiadaan undi mereka tidak akan menjejaskan calon Umno dan BN.

"Dulu mereka tak keluar mengundi kerana anggap satu undi mereka tidak penting. Jadi kali ini semua ahli Umno yang boleh mengundi perlu keluar mengundi kerana satu undi amat penting," kata Shahanim.

Beliau berkata sebenarnya masalah di bahagian tidaklah terlalu teruk, dan selepas 2008, bahagian-bahagian semakin menyedari bahawa parti lebih penting daripada individu. - BERNAMA

Artikel Lain