suria

Dr Mohamad Salleh Nafi Projek NFC Tidak Terurus Dan Gagal

GEMAS: Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail hari ini menafikan dakwaan kononnya projek itu berada dalam keadaan tidak terurus dan gagal. Sebaliknya, kata beliau, ia sudah mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.

"Tapi bila Parti Keadilan Rakyat timbulkan perkara ini, mereka kata NFC gagal," katanya ketika memberi penjelasan kepada beberapa kritikan terhadapnya berikutan Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini menyatakan objektif projek ini masih belum dicapai sepenuhnya.

Dr Mohamad Salleh berkata kontrak NFC dengan kerajaan adalah untuk tempoh 30 tahun dan tahun ini baru tahun ketiga, jadi adalah perkara biasa bagi sesuatu projek menghadapi masalah di peringkat permulaan perniagaannya.

"Ia di luar kawalan kami," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di ladang NFC di sini. Dr Mohamad Salleh berkata Laporan Ketua Audit Negara yang menyebut bahawa NFC hanya mencapai 41 peratus daripada jumlah daging yang disasarkan adalah kurang tepat kerana ia perlu dilihat daripada sudut jumlah lembu dan juga jumlah lembu yang disembelih.

"NFC sudah mencapai sasaran jumlah sebenar lembu sebanyak 8,016 ekor dan sasaran kami 8,000 ekor pada tahun 2010 sebenarnya sudah dicapai.

"Kita import dari Australia dan kita terpaksa bagi makan kadang-kadang empat bulan, kadang-kadang enam bulan. Lembu yang sampai tidak semestinya terus disembelih.

"Ini sebab (lembu) lambat disembelih. Kita tak sembelih jika tidak ada pasaran. Dan apabila tidak disembelih kos memberi makanan lembu juga akan meningkat," katanya.

Selain itu, beliau berkata pada awal projek pada 2009, NFC tidak mempunyai pasaran apatah lagi mendapat kelulusan pusat penyembelihan pada April 2009, pensijilan halal pada Jun tahun sama dan Veterinary Health Mark (VHM) pada 2010 yang mengambil masa. Dr Mohamad Salleh berkata VHM diperlukan untuk membolehkan produk yang dihasilkan dijual kepada pasaran dengan syarat ditetapkan, yang sangat ketat ditentukan oleh Jabatan Veterinar.

Beliau berkata NFC juga perlu menghantar pekerja berkursus dan menepati kemahiran tertentu untuk membolehkan pusat penyembelihan itu beroperasi.

"Pelanggan lebih suka sijil halal Malaysia daripada yang lain-lain," katanya.

Mengenai jalan yang menuju masuk ke ladang NFC yang tidak berapa memuaskan, beliau berkata ia adalah jalan awam dan tidak termasuk dalam bajet NFC dan pinjaman yang diluluskan manakala di bahu jalan berkenaan, NFC masih berbincang dengan kementerian terbabit untuk menanam rumput.

"Kita tak ada peruntukan untuk itu. Kolam pecah seperti dilaporkan itu dalam perbincangan kita dengan kementerian untuk dibaiki secara beransur-ansur," katanya.

Dr Mohamad Salleh berkata secara kebetulan pula pegawai daripada Jabatan Audit Negara datang melawat projek itu ketika Gemas baru sahaja dilanda banjir.

"Laporan Audit kata itu dia nak periksa semua dan bukan nak cari kesalahan," katanya.

Terdahulu, petugas media turut dibawa melawat pusat penyembelihan dan juga ladang ternakan lembu fidlot.

Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh peguam NFC Datuk Mohamed Shafee Abdullah, Perunding Korporat dan Kewangan NFC Zakaria Mohammad dan Pengarah NFC Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain