suria

Dr Koh Bakal Umum Pelan Transformasi Gerakan Khamis Ini

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bakal mengumumkan pelan 'pembaharuan dan reformasi' parti itu pada Khamis ini.

Malah menurut beliau, pengumuman penting tersebut bakal menentukan agenda dan hala tuju mereka demi kepentingan rakyat serta survival politik parti itu di negara ini.

"Khamis ini saya akan membuat pengumuman penting tentang pelan pembaharuan dan reformasi untuk Gerakan. Ia termasuk agenda Gerakan untuk rakyat Malaysia," katanya di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Sementara itu ditanya sama ada pengumuman penting itu berkaitan dengan 'pengorbanan' beliau dalam politik seperti yang diperkatakan banyak pihak, Koh berkata:

"Saya tak nak bercakap lagi tentang pengorbanan sekarang. Sebab semua orang berkorban dalam politik.

"Anda boleh tanya saya soalan-soalan begini pada Khamis ini, tunggulah masanya...kurang 48 jam dari sekarang saya akan jawab semuanya," katanya.

Dalam pada itu menjawab kepada soalan sama ada beliau akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi mengadakan perbincangan sebelum pelan penting itu diumumkan, Koh berkata:

"Biarkan perkara itu menjadi privasi antara saya dan Perdana Menteri. Saya bertemu beliau untuk berbincang mengenai banyak perkara," katanya.

Sebelum ini Koh berkata, janji beliau untuk memegang jawatan Presiden untuk dua penggal sahaja lagi bergantung kepada prestasi parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya soal kepentingan diri tiada dalam pemikirannya sama sekali malah hanya mengutamakan kepentingan rakyat dan tumpuan persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Gerakan juga telah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang sepatutnya diadakan tahun ini kepada tahun depan bagi memberi tumpuan kepada PRU-13.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain