suria

PKNS Sambut Baik Pemberian Insentif Tujuh Bulan Gaji

SHAH ALAM: Semua persatuan di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyambut baik dan menyokong keputusan perbadanan itu untuk memberikan insentif sebanyak tujuh bulan gaji kepada anggota PKNS pada tahun ini.

Kesemua persatuan berkenaan iaitu Persatuan Kebajikan Pekerja-pekerja (PKP), Persatuan Pegawai Kanan (SOA), Persatuan Pegawai Eksekutif (EOA), Kesatuan Pekerja-Pekerja PKNS, Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) serta Badan Islam menganggap pemberian insentif itu sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan produktiviti tinggi yang telah ditunjukkan oleh warga kerja PKNS.

Bahagian Perhubungan Awam PKNS dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata perbadanan itu dibenarkan membayar insentif berpandukan Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964 di mana PKNS boleh membayar insentif dengan jumlah tertentu berdasarkan kepada jumlah keuntungan yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis tahun sebelumnya.

PKNS menerusi mesyuarat Anggota Perbadanan pada Jun lepas, telah meluluskan pemberian insentif kepada kakitangan, anggota-anggota Perbadanan dan anggota jawatankuasa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, pemberian insentif berkenaan adalah wajar berdasarkan peningkatan prestasi keuntungan seperti yang dicatatkan oleh PKNS di mana pada 2010, PKNS telah meraih keuntungan sebanyak RM206.3 juta berbanding pada 2009 sebanyak RM166.1 juta iaitu kenaikan sebanyak 24.3 peratus.

Malah, sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab, PKNS telah membayar cukai sebanyak RM43 juta pada 2010.

Kenyataan berkenaan turut menyebut pemberian insentif kepada anggota juga mengambil kira prestasi kerja mereka.

Penetapan insentif bagi setiap kakitangan dibuat berdasarkan pemarkahan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) kakitangan.

Dalam pada itu, PKNS juga menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat di mana pada tahun lalu sahaja (2010) sebanyak RM6.7 juta disumbangkan kepada Lembaga Zakat Selangor.

Selain itu, secara purata PKNS menyumbang sebanyak RM30 juta hingga RM40 juta setahun untuk subsidi perumahan kos rendah, rumah mampu milik, aktiviti pendidikan serta program kerajaan prihatin untuk rakyat negeri Selangor.

Oleh yang demikian, semua persatuan di PKNS berpendapat pemberian insentif tersebut adalah wajar dan merupakan satu galakan serta dorongan dan motivasi kepada anggota yang telah memberi sumbangan terbaik kepada organisasi. -BERNAMA

Artikel Lain