suria

Pesara Jururawat Jumpa Bayi Lelaki Dalam Beg

ALOR SETAR: Seorang pesara jururawat menemui seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalam sebuah beg di bawah sebatang pokok di belakang Klinik Kesihatan Alor Setar di sini kira-kira 12 tengah hari Isnin. Bekas jururawat yang enggan dikenali itu berkata dia membawa bayi itu ke klinik kesihatan tersebut bagi mendapatkan rawatan sebelum menghubungi polis.

"Ketika saya jumpa bayi ini, dia diletakkan di dalam beg dan dibalut dengan menggunakan tuala lusuh berwarna coklat," katanya ketika ditemui pemberita di klinik tersebut di sini, Isnin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar Supritendan Baharom Abu mengesahkan menerima laporan tentang kejadian itu dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata bayi tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan lanjut dan bayi itu dipercayai dilahirkan empat jam sebelum dijumpai. -BERNAMA

Artikel Lain