suria

Pembunuhan Banting: Gobalakrishnan Diberi Amaran

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan pada Rabu, dikenakan amaran terakhir supaya tidak lagi membuat sebarang komen berkaitan perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Akhtar Tahir mengeluarkan amaran tersebut kepada Gobalakrishnan berada di mahkamah pada Rabu ekoran komen beliau yang menyerang peribadi peguam utama dalam kes berkenaan, Manjeet Singh Dhillon.

Komen tersebut disiarkan di Utusan Malaysia pada 17 Ogos lalu di bawah tajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' dan merupakan temubual menerusi telefon antara wartawan, Raja Syahrir Abu Bakar dengan ahli politik terbabit.

Temubual tersebut juga telah disiarkan di Buletin Utama, TV3 pada pukul 8.20 malam, hari yang sama.

Pada prosiding itu, Akhtar berkata, Gobalakrishnan selaku seorang Ahli Parlimen seharusnya tahu bahawa komen yang dibuat semasa sesuatu prosiding mahkamah sedang berjalan adalah bersifat subjudis (kacau ganggu pada kes yang belum selesai).

"Saya rasa semua orang patut tahu tentang itu. Kamu bukan sahaja membuat komen tentang kes, tetapi komen tersebut juga tidak betul. Kamu tidak berada di sini, malah tidak penah menjejakkan kaki ke dalam mahkamah ini," kata Akhtar.

Akhtar seterusnya berkata, beliau tidak memanggil Gobalakrishnan datang ke mahkamah bagi pihak Manjeet, tetapi tindakan itu diambil kerana prihatin dengan kelakuannya yang cuba memanipulasikan badan kehakiman dengan politik.

"Biar saya nyatakan, hakim di Malaysia adalah lebih bebas daripada yang kamu sangkakan. Kami bukan sekadar duduk dan biarkan pihak pendakwaan atau peguam berbuat sesuka hati. Kami bertindak mengikut undang-undang.

"Saya tidak berniat mahu mengambil tindakan ke atas kamu kerana saya percaya setiap orang perlu diberikan peluang kedua. Saya berikan amaran untuk kali ini dan kamu lebih baik mengambil ini sebagai amaran terakhir," tambah Akhtar.

Sementara itu, Gobalakrishnan yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju kameja biru berlengan panjang, seluar hitam dan kasut sukan seolah-olah mahu memberi alasan bahawa beliau tidak mengingati kejadian tersebut.

Apabila Akhtar memberi peluang sekiranya beliau mahu berkata sesuatu, Gobalakrishnan berkata:

"Saya sendiri tidak ingat. Wartawan itu..."

Bagaimanapun percakapan tersebut dipotong oleh Akhtar yang berkata beliau tidak membenarkan sebarang penjelasan dibuat kerana wartawan terbabit, Raja Syahir telah dipanggil ke mahkamah dan tiada keraguan bahawa Gobalakrishnan telah mengeluarkan kenyataan itu.

"Jika kamu benar-benar lelaki budiman, kamu akan memohon maaf. Jangan ulangi kesilapan ini. Jangan buang masa saya, kamu boleh beredar jika mahu," tambah Akhtar.

Gobalakrishnan didengari hanya menjawab "Ok" dan terus meninggalkan mahkamah tanpa memohon maaf kepada mahkamah atau Manjeet yang duduk di meja bersebelahan tempat ahli politik itu berdiri.

Sementara itu, di luar mahkamah, Manjeet memberitahu bahawa beliau telah menyerahkan salinan saman fitnah bernilai RM2.5 juta terhadap Gobalakrishnan, bagaimanapun ahli politik bebas itu enggan menerima dan bertindak mencampakkan dokumen itu.

Kata Manjeet, pelakuan Gobalakrishnan turut disaksikan oleh seorang lagi peguam, Amer Hamzah Arshad dan juga Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 9 September lalu, Manjeet yang pernah bergelar Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Presiden Majlis Peguam Malaysia dan Ahli Majlis Persatuan Peguam Komanwel menamakan Gobalakrishnan sebagai defendan pertama diikuti Raja Syahir, Utusan Melayu (M) Berhad dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Manjeet mendakwa, Gobalakrishnan telah mengeluarkan komen yang menghina dalam niat jahat dengan tujuan merosakkan reputasi beliau sebagai seorang peguam yang berkedudukan, selain komen tersebut telah menyebabkan beliau dicemuh.

Manjeet yang diwakili oleh peguam Americk Sidhu juga mendakwa, Raja Syahir dan TV3 telah gagal untuk menghubungi beliau bagi mendapatkan kepastian sama ada dakwaan bahawa beliau adalah alat kepada pembangkang dan pernah mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya adalah benar atau tidak.

Manjeet adalah peguam yang mewakili bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, yang sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang didakwa hilang bersama pengasas kosmetik jenama Nouvelle Visages tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini pada pukul antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada Khamis.

Artikel Lain