suria

JKKP Bantu Selamatkan Jutaan Ringgit Jika Jentera Industri Sentiasa Diperiksa - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah membantu pihak industri menyelamatkan RM4.7 bilion menerusi pemeriksaan dan pembersihan jentera kilang tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Angka itu merupakan kerugian yang sepatutnya ditanggung oleh syarikat jika jentera masing-masing rosak disebabkan tidak diperiksa dan dibersihkan kerana ini boleh mengakibatkan pemberhentian operasi jentera industri.

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini pula, kos yang dapat diselamatkan menerusi pemeriksaan seperti itu ialah RM877 juta, katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pengarah JKKP Dr Johari Basri pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) penggunaan satu perisian dikenali 'Online PRBI Interface' antara JKKP dan Petronas di sini, Rabu.

Perisian itu membolehkan JKKP membuat semakan dan penilaian secara online bagi permohonan melanjutkan perakuan kelayakan jentera tanpa perlu menghentikan operasi jentera itu.

Pada majlis itu juga Johari menandatangani MOU itu bagi pihak JKKP manakala Petronas diwakili Naib Presiden Bahagian Teknologi dan Kejuruteraan Dr Colin Wong.

Subramaniam berkata kerugian yang diselamatkan itu berbentuk kos langsung melibatkan pemeriksaan serta pembersihan terhadap jentera serta kos tidak langsung yang melibatkan kehilangan pengeluaran.

"Aktiviti pemeriksaan dan pengeluaran perakuan kelayakan merupakan aktiviti penting membolehkan jentera-jentera ini beroperasi untuk tempoh yang lebih lama.

"Ini membantu pihak industri daripada menanggung kerugian daripada pemberhentian loji yang kerap," katanya.

Subramaniam juga berkata bahawa terdapat 57,656 kes kemalangan industri tahun lepas berbanding 55,186 pada 2009, dan melibatkan 1,194 kes kemalangan maut.

Mengenai 'Online PRBI Interface', beliau berkata, pemberhentian jentera industri boleh menyebabkan kehilangan pengeluaran dan mengakibatkan kerugian kepada syarikat.

"Inisiatif ini berupaya membantu menzahirkan satu iklim pelaburan yang dapat meningkatkan minat pelabur asing," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain