suria

Malaysia Gesa Sekatan Ke Atas Gaza Dihentikan Sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Malaysia telah membayangkan lima fokus utama yang perlu diambil oleh kerajaan Israel termasuk menghentikan sepenuhnya sekatan ke atas Gaza, bagi menamatkan tindakan menyalahi undang-undang dan ketidakadilan terhadap rakyat Palestin.

Pandangan Malaysia itu diluahkan oleh wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Hussein Haniff, pada Jawatankuasa keempat sesi ke-66 Perhimpunan Agung PBB di New York, pada Sabtu, berikutan "Laporan Jawatankuasa Khas menyiasat Amalan Israel yang menjejaskan hak asasi manusia di wilayah-wilayah".

Teks ucapan Hussein dikeluarkan di sini, pada Sabtu.

Hussein berkata, sementara menyokong cadangan dari Jawatankuasa Khas, Malaysia juga berpendapat bahawa dalam usaha untuk menamatkan sekatan itu, Israel perlu akur dengan peruntukan yang relevan dalam undang-undang antarabangsa berkaitan penguatkuasaan sekatan mengenai kebebasan untuk bergerak dan mengambil tindakan yang boleh memperbaiki keadaan kesihatan yang buruk di kalangan kanak-kanak Gaza.

Israel juga digesa menghentikan semua kegiatan berkaitan penempatan termasuk memperluas penempatan, merampas tanah rakyat Palestin, merobohkan kediaman rakyat Palestin dan menangani isu keganasan para peneroka penempatan.

Mengimbas semula pemerhatian peribadinya sebagai seorang anggota jawatankuasa khas dalam misi lapangan mereka ke Semenanjung Gaza, Hussein berkata sekatan Israel ke atas Gaza, yang merupakan satu bentuk hukuman yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa, hampir-hampir memenjara pantai semenanjung yang dihuni 1.5 juta penduduk.

Katanya bangunan dan kediaman terus terbiar berikutan bahan binaan sukar diperolehi hasil daripada tindakan Israel.

Hussein berkata Malaysia menggesa Israel memansuhkan dasar dan amalan menindas dan tidak mengikut undang-undang terhadap rakyat Palestin yang tinggal di timur Baitul Maqdis; mengambil langkah bagi memastikan hak kanak-kanak Palestin untuk mendapat pendidikan dan mematuhi undang-undang dan standard antarabangsa berhubung tindakan dan layanan terhadap banduan rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita.

Laporan Jawatankuasa Khas menggambarkan pencabulan secara terang-terangan hak asasi manusia, yang tidak terpisah di bawah undang-undang, terhadap rakyat Palestin dan Arab yang lain oleh Israel di wilayah yang didudukinya secara tidak sah sejak sekian lama, menurut Hussein.

Beliau berkata seperti yang ditonjolkan dalam laporan itu, keadaan hak asasi manusia di wilayah yang diduduki rakyat Palestin terus bertambah buruk berikutan pencabulan terhadap undang-undang hak asasi kemanusiaan antarabangsa oleh Israel, walaupun pelaksanaan amalan dan dasarnya yang tidak sah.

"Kurangnya bekalan elektrik dan gangguan bekalan berikutan kekurangan kemudahan tenaga telah memberi kesan terhadap masyarakat Gaza terutama golongan tua dan sakit.

"Berikutan kurangnya sekolah, kanak-kanak di Gaza terpaksa berhimpit-himpit dalam kontena yang dijadikan sebagai sekolah sementara," katanya.

Dengan latar belakang sedemikian, Hussein berkata, sekurang-kurangnya 70 peratus atau 1.1 juta rakyat Palestin di Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada PBB untuk bantuan kemanusiaan.

Sehubungan dengan kejadian malang seperti Hari Nakba dan Hari Naksa 2011, Malaysia juga menggesa Israel untuk menjalankan siasatan yang telus dan terperinci bagi menjelaskan mengenai begitu banyak kematian dan kecederaan di kalangan orang awam Syria yang tidak bersenjata.

Semasa demonstrasi Hari Naksa pada Jun lepas, ia dilaporkan beberapa penunjuk perasaan terbunuh semasa cuba menyeberang dari Syria ke Israel manakala ratusan lagi dilaporkan cedera dalam pertempuran di sempadan.

Hussein berkata: "penyahmanusiaan rakyat Palestin dan Arab lain dalam wilayah yang diduduki itu adalah merugikan bagi mencapai keadilan dan keamanan yang berpanjangan. Dalam kes di wilayah yang diduduki rakyat Palestin, tindakan Israel di sisi sempadan Syria dan Dataran Tinggi Golan, menunjukkan dengan jelas sikap Israel melanggar hak asasi kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.

"Dan tragedinya ialah, ia melakukan sedemikian dengan bebas daripada hukuman, ini perlu dihentikan," kata Hussein, dan dengan itu menggesa supaya cadangan yang terkandung dalam laporan khas itu dilaksanakan sepenuhnya. - BERNAMA

Artikel Lain