suria

Tiga Sekeluarga Maut Nahas Jalan Raya Di Pahang

KUANTAN: Tiga sekeluarga maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Km81 Jalan Lipis-Merapoh pada Rabu.

Mereka yang maut ialah pemandu kereta Nik Abdullah Nik Isa, 51, ibunya Siti Long, 78, dan isterinya Nor Aizan Muhammad, 45, manakala adiknya Nik Norizan Isa cedera parah dan kini dirawat di Hospital Gua Musang, Kelantan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awan Dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abd Rahim berkata ketika kejadian pada pukul 2 petang, kereta yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari arah Lipis ke Merapoh.

"Kereta mereka dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah Merapoh," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata Nik Abdullah dan ibunya mati di tempat kejadian manakala Nor Aizan mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Pemandu pacuan empat roda itu cedera ringan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain