suria

Usaha Laksana Tanggungjawab Sosial Perlu Diteruskan

PUTRAJAYA: Usaha melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu golongan dalam kesusahan seperti dilakukan QSR Brands Bhd, pengendali restoran makanan segera yang menjalankan program World Hunger Relief (WHR) 2011 perlu dijadikan contoh oleh semua pihak.

Isteri Sultan Johor Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah program seumpama itu memerlukan sokongan semua pihak supaya penderitaan sesetengah masyarakat yang berdepan masalah kekurangan makanan dapat dibantu.

Baginda bertitah melalui program WHR 2011, restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut Malaysia, berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM2.1 juta untuk disalurkan kepada Program Makanan Dunia (PMD) yang dinaungi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan amal tempatan.

Meskipun usaha itu kelihatan kecil, tetapi hakikatnya ia memberi impak yang besar untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat, titah baginda semasa merasmikan program jalan kaki amal sempena WHR 2011 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi QSR Brands dan KFC Holdings Malaysia Bhd Kamaruzzaman Abu Kassim.

"Dengan cara ini kita akan lebih menghargai rezeki pemberian Tuhan. Malah kita di Malaysia merasa bertuah kerana kita selalunya mempunyai lebihan makanan berbanding penduduk di sesetengah negara," titah baginda.

Pada sidang akhbar kemudiannya Pengurus Besar Komunikasi Korporat QSR Brands Rosniza Baharum berkata kutipan untuk WHR meningkat dari masa ke semasa sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2007 dan tahun ini ia berjaya mengumpul sebanyak RM2.1 juta.

Sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan dana pada tahun ini, KFC dan Pizza Hut menawarkan beberapa hidangan tertentu dan pelanggan perlu membayar tambahan sebanyak 50 sen yang akan disalurkan kepada tabung WHR, kata beliau.

Katanya selain disalurkan kepada PMD untuk dibelanjakan bagi membeli barangan makanan, sebahagian daripada dana yang diperoleh itu juga akan disalurkan kepada rumah-rumah kebajikan di Malaysia serta pihak yang memerlukan.

Pada acara semalam, hampir 10,000 peserta terdiri daripada pekerja KFC dan Pizza Hut, kanak-kanak daripada pelbagai badan amal dan rumah kebajikan serta orang awam menyertai acara jalan kaki amal itu untuk menyokong usaha QSR. - BERNAMA

Artikel Lain