suria

Presiden Zuma Jemput Najib Ke Afrika Selatan Sempena Ulang Tahun ke-100 ANC

PERTH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau telah dijemput oleh Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma untk menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), Januari depan.

Katanya, Zuma menghargai sokongan Malaysia ketika negara itu berada dalam era Apartheid lagi.

"Oleh itu, beliau menjemput saya untuk menghadiri ulang tahun itu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, selepas pertemuan dua hala dengan Zuma.

Selain itu, katanya, Zuma juga berharap agar hubungan Malaysia dengan Afrika Selatan "dapat suntikan baru."

"Ini ialah kerana walaupun hubungan dua hala sudah terjalin sekian lama tetapi sejak kebelakangan ini tumpuannya tidaklah seperti yang diharapkan. Jadi beliau menyatakan hasratnya supaya ada suntikan baru kepada hubungan dua hala," kata Najib yang berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) dan mesyuarat berkaitan. Najib turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Pakistan Syed Yousuf Raza Gilani.

"Pakistan juga menganggap Malaysia sebagai rakan lama mereka dan berminat memperluaskan lagi hubungan antara Malaysia dengan Pakistan," kata Najib.

Beliau berkata Gilani telah menjemputnya ke Pakistan untuk melihat perkembangan terkini dari segi peningkatan perdagangan dan juga penyertaan Malaysia dalam industri perbankan.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai Piagam Komanwel, Najib berkata perkara itu belum diputuskan lagi pada mesyuarat yang dihadirinya pada Jumaat.

Katanya, kandungan yang dicadangkan itu akan dibincangkan dengan lebih mendalam.

"Pada prinsipnya, kita tidak ada apa-apa halangan sebab ia merupakan proses memperkukuhkan semua yang telah dihuraikan bersabit dengan nilai dan prinsip berkaitan Komanwel," katanya.

Menurut beliau, apa yang perlu dikaji hanyalah sama ada ia perlu ditambah dengan aspek-aspek lain.

Artikel Sebelum

Artikel Lain