suria

Kastam Rampas Dadah Ketamin dan Eramin 5 Bernilai RM20.13 Juta

NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas dadah jenis ketamin dan eramin 5 bernilai kira-kira RM20.13 juta hasil pemeriksaan terhadap dua penghantaran melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Liah Omar berkata seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan dalam pemeriksaan pada pukul 1 petang Selasa lepas.

Lelaki terbabit ditahan semasa dia mengambil kotak yang diikrar sebagai 'dry ice machine' daripada pejabat agen penghantaran cepat di Shah Alam Selangor, katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Beliau berkata pihaknya menemui 15 bungkusan plastik lutsinar berisi dadah ketamin dengan berat kasar 14.7 kilogram bernilai kira-kira RM164,700 disorok dalam 15 kotak yang dicatat sebagai 'fog machine.

Beliau berkata barangan yang diikrar sebagai 'dry ice machine' kepada Kastam pada 19 Okt itu tiba dari Shenzhen, China untuk penerima di alamat Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.

Tangkapan itu dibuat hasil pemantauan kira-kira seminggu di lokasi itu, katanya.

Sementara itu, Liah berkata satu lagi rampasan dibuat pada 14 Okt lepas membabitkan 10 kotak mengandungi dadah jenis eramin 5 di sebuah pejabat egen penghantaran di kargo udara KLIA.

Beliau berkata konsaimen itu tidak dituntut oleh penerima yang dinamakan dan hasil pemeriksaan mendapati 10 kotak itu berisi bungkusan yang mengandungi 998,750 biji pil eramin 5 dengan anggaran nilai RM19.97 juta.

"Dokumen kargo menunjukan kotak itu tiba dari Taiwan pada 5 Okt untuk penerima di alamat sebuah syarikat di Selangor dan tidak dinyatakan kandungannya.

"Kami membuat pemantauan selama sepuluh hari untuk memastikan konsaimen itu diterima oleh penerima, tetapi tiada yang membuat tuntutan terhadap konsaimen itu," katanya.

Beliau berkata siasatan awal terhadap alamat syarikat penerima mendapati syarikat itu tidak wujud dan alamat yang digunakan adalah palsu, manakala nombor telefon penerima tidak dicatat dan pembekal gagal dihubungi. - BERNAMA

Artikel Lain