suria

Lawatan Di Penjara Ditutup Pada Hari Raya Pertama Aidiladha

KUALA LUMPUR: Semua lawatan di institusi-institusi penjara ditutup pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidiladha kecuali Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting Taiping, Perak.

Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan lawatan bagi semua institusi penjara, pusat pemulihan akhlak dan sekolah Henry Gurney ditetapkan hanya pada hari raya kedua dan ketiga.

Menurut jabatan itu, keutamaan lawatan diberikan kepada penghuni beragama Islam. Lawatan akan bermula dari pukul 8.15 pagi hingga 4.15 petang.

Semua pelawat diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan dan tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni.

Pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni namun sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan seperti bayaran yuran peperiksaan, perlu dapatkan resit rasmi PPT.28 sebagai akuan penerimaan. - BERNAMA

Artikel Lain