suria

Sarawak Sedia Kongsi Kepakaran Luar Untuk Tingkatkan Pengeluaran Padi Tempatan

KUCHING: Sarawak sedia bekerjasama dengan pakar serta saintis dari luar negara dalam meningkatkan lagi pengeluaran padi tempatan, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang di sini.

Beliau berkata Sarawak terkenal dengan pelbagai jenis beras yang berpotensi dimajukan untuk pengeluaran secara komersial seperti Beras Bario, Sarawak Beras Biris dan Sarawak Beras Bajong yang kini mendapat persijilan Petunjuk Geografi (GI) daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

"Dengan kekayaan pelbagai jenis beras, Sarawak berpotensi untuk mengeluarkan pelbagai jenis lagi padi dengan adanya perkongsian kepakaran serta kajian dengan pakar dari luar," katanya ketika berucap pada Persidangan Beras Sarawak di sini Selasa.

Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian berkata antara jenis beras yang berpotensi dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi ialah seperti Bali, Mamut, Selasih, Katek Merah, Lemak dan Kenawit.

Menurutnya faktor iklim dunia yang tidak menentu serta bencana yang menimpa beberapa negara pengeluar padi dunia mendorong Sarawak untuk memajukan penanaman padi yang masih lagi menggunakan kaedah tradisional hari ini.

"Saya yakin persidangan padi yang membabitkan beberapa pakar serta saintis akan memberi lebih banyak maklumat dan pengetahuan kepada Sarawak dalam kaedah penanaman padi yang lebih maju," katanya.

Sarawak katanya telah mendapat peruntukan sebanyak RM136 juta tahun ini untuk membangunkan infrastruktur sawah padi serta kajian dan pembangunan untuk spesis padi eksotik dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion daripada kerajaan pusat sehingga tahun 2020.

Menurutnya ia termasuk projek tanaman padi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di Batang Lupar yang meliputi kawasan seluas 5,100 hektar di Bijat/Stumbin hingga ke Lingga Banting. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain