suria

Himpunan Sejuta Umat: Pembangkang Belum Tetap Pendirian

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hanya akan menetapkan pendirian sama ada ingin menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadual Sabtu ini selepas mendapatkan maklumat terpeinci mengenai penganjurannya.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian yang bakal diumumkan itu juga bergantung kepada hasil mesyuarat kepimpinan PAS Pusat malam ini.

"Sehingga kita dapat maklumat-maklumat itu baru kita akan buat keputusan muktamad," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Selain itu Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, keputusan yang bakal dibuat nanti juga bergantung kepada hasil maklumat sama ada penganjurannya didalangi oleh Umno ataupun pihak lain yang berkepentingan.

"Kita sedang dapatkan maklumat tentang tujuan sebenar penganjurannya serta ingin mengetahui penglibatan pihak tertentu sama ada terlibat dengan Umno ataupun tidak.

"Dan kita juga nak tahu apakah benar matlamat penganjurannya untuk mempertahankan akidah," katanya.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, PAS akan menilai sama ada penganjuran perhimpunan tersebut mempunyai agenda politik yang akan menguntungkan pihak tertentu.

"Kita akan melihat sejauh mana agenda politik ada di sebalik penganjurannya.

Kita tidak mahu program yang diatur lari daripada landasan yang sebenar iaitu untuk memperkasakan akidah," katanya.

Himpun yang bakal diadakan di Stadium Shah Alam Sabtu ini mensasarkan lebih sejuta umat Islam yang antara lain bertujuan menerangkan kedudukan perkara sebenar tidak seperti yang dilaporkan melalui media.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain