suria

Lim Keng Yaik Tidak Hadir LMC Atas Sebab Kesihatan

KUALA LUMPUR: Bekas presiden Gerakan, Tun Dr Lim Keng Yaik tidak dapat hadir untuk mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Seumur Hidup (LMC), pada Sabtu berikutan masalah kesihatan.

Beliau sepatutnya mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma PGRM di sini, pagi ini.

Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon yang menggantikan Lim mempengerusikan mesyuarat itu memberitahu perwakilan bahawa pemimpin veteran itu mengalami pneumonia yang memerlukan beliau mendapat rawatan dan rehat yang mencukupi.

"Saya bercakap dengan beliau tiga minggu lepas dan beliau meminta saya untuk menyampaikan salam kepada semua anggota," katanya sebelum mempengerusikan persidangan itu.

Lim menjadi pengerusi LCM selepas meletak jawatan sebagai penasihat parti pada Oktober 2010.

Sementara itu, Koh memberitahu mesyuarat bahawa LMC, yang bertindak sebagai badan khas untuk parti, kini mempunyai 231 anggota.

Koh berkata generasi muda parti boleh mendapat faedah daripada pengalaman luas anggota seumur hidup itu, sekaligus merapatkan jurang antara kedua generasi.

"Ini adalah ciri-ciri yang sangat unik yang kita perlu jaga.

"Mereka adalah aset berharga bagi parti kerana ada antara mereka merupakan pengasas, malah sesetengahnya adalah anggota 'A' yang menyertai (parti) pada 1968 dan mereka masih bersama kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain