suria

Identiti Baru Gagal Tutup Jenayah Lelaki Paling Dikehendaki

KUALA LUMPUR: Ibarat pelanduk lupakan jerat, seorang penjenayah, yang sebelum ini melepaskan diri daripada tahanan polis tujuh tahun lepas, berjaya ditahan semula meskipun menggunakan identiti baru dan kad pengenalan palsu.

Suspek, yang ditahan polis pada 5 Okt lepas atas kesalahan mencuri kereta mewah, sebenarnya penjenayah dalam kes rogol dan bunuh seorang gadis pada 26 Feb 2004 di Sijangkang, Banting, Selangor, yang telah melarikan diri daripada tahanan polis selepas ditahan lima hari.

Menurut sumber polis, pemalsuan identiti suspek terbongkar apabila suspek ditahan polis berikutan kes melarikan sebuah kereta mewah berkenaan.

"Pada mulanya, kami tidak dapat mengakses kad pengenalan suspek untuk semakan dan rujukan di fail polis. Bagaimanapun, dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara, polis mendapati suspek menggunakan kad pengenalan palsu," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dengan kes rogol bersama-sama seorang lagi rakan jenayahnya di satu kawasan berhampiran Batu Arang pada 1999 dan suspek kemudiannya turut dikesan terlibat dalam kes rogol dan bunuh See Shew Fang, 18, sebelum melarikan diri dari lokap polis Balai Polis Tanjung Sepat.

Sumber polis itu berkata suspek dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di luar negara dengan bantuan sindiket kereta curi yang didalanginya.

Suspek dipercayai kembali ke negara ini dengan menggunakan identiti serta dokumen pengenalan diri palsu, katanya.

Semalam, Polis Kuala Lumpur mendedahkan suspek sebagai pencuri kereta mewah tanpa maklumat lanjut mengenai latar belakang suspek yang merupakan penjenayah yang dikehendaki polis sejak tujuh tahun lepas.

Dalam kes terbaru, suspek didakwa melarikan kereta jenis Honda Crossroad milik seorang wanita berusia 69 tahun yang merupakan pengurus sebuah hotel di Jalan Klang Lama.

Suspek, yang merupakan kenalan keluarga wanita itu, berpura-pura ingin meminjam kereta itu untuk ke klinik dan gagal memulangkan kembali kenderaan menyebabkan wanita berkenaan membuat laporan polis.

Kereta itu kemudiannya dikesan melalui GPS telah berada di Masai, Johor Baharu dengan suspek sedang memandu kenderaan itu. Suspek kini ditahan Polis Selangor untuk siasatan kes rogol dan bunuh, kata sumber polis itu. - BERNAMA

Artikel Lain