suria

UPP Kesan Treler Guna Tangki Tambahan Seludup Keluar Diesel

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam mematahkan cubaan menyeludup keluar 5,210 liter diesel bernilai RM9,378 menggunakan lori treler di KM1.3 Lebuhraya Changlun-Bukit Kayu Hitam di sini semalam.

UPP turut menahan pemandu treler itu, seorang lelaki warga Thailand berusia 43 tahun, untuk siasatan lanjut.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Muhamad Zunaidi Abdullah, berkata pemeriksaan mendapati treler tanpa muatan yang menuju ke Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Bukit Kayu Hitam itu mempunyai empat tangki tambahan yang tersorok dan memuatkan 1,500 liter diesel.

Katanya terdapat dua lagi tangki tambahan pada tangki asal treler tersebut yang diisi 3,500 liter diesel dan tujuh tong berisi 210 liter diesel yang diletakkan dalam treler itu.

"Ini merupakan taktik terbaru penyeludup warga Thailand yang menghantar barang dipercayai getah ke negara ini dan pulang dengan membawa minyak diesel tanpa diketahui pihak berkuasa.

"Kita percaya kegiatan ini dijalankan oleh satu sindiket yang menggunakan kenderaan perdagangan untuk menyeludup diesel dari negara ini setelah UPP memfokuskan penyeludupan minyak yang menggunakan kenderaan persendirian jenis pikap sahaja," kata Zunaidi. - BERNAMA

Artikel Lain