Perhimpunan Haram: Mahkamah Lepaskan Aktivis PSM - Semasa | mStar

Perhimpunan Haram: Mahkamah Lepaskan Aktivis PSM

BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini melepaskan tanpa bebas kesemua 24 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dituduh berhubung pembabitan mereka dalam satu perhimpunan haram dan memiliki dokumen subversif tanpa alasan sah.

Hakim Ikmal Hishan Ahmad Tajuddin membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwa gagal mengemukakan kes terhadap pertuduhan selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding pada Isnin.

Bagaimanapun, di bawah keputusan itu, pihak pendakwaan boleh mendakwa kesemua 24 orang aktivis itu sekiranya mempunyai bukti kemudian kelak.

Mahkamah juga menetapkan 28 Oktober ini untuk membacakan keputusan terhadap enam aktivis yang tidak hadir pada prosiding hari ini kerana mempunyai urusan lain. Mereka ialah M.Ravindran, 20; M. Kavitha, 35; M. Santhanadevi, 30; M. Sivoosamy, 56; dan M.Sugumaran kerana kematian ahli keluarga terdekat, manakala anggota Parlimen Sungai Siput Dr. Michael Jeyakumar Devaraj mempunyai perbicaraan kes lain di Putrajaya.

Tertuduh yang lain ialah R. Nalayani, 64; A. Shanmugam, 57; G. Velaitham, 54; S. Ramasamy, 35; Chan Mooi, 55; K.Kamaladevi, 57; Cheang Sew Yin, 60; K. Deeba, 22; K. Thanushia, 21; G.Packialetchumy, 40; R. Saroza, 51; N.P. Indra, 54; P.Jody, 52; K. Gana Santhanam, 45; J. Reveen Veerasenan, 18; dan S. Thivya Kumar, 18; kesemuanya dari Perak, M. Aroklam, 62; dari Perlis dan Soh Sook Hwa, 29, dari Pulau Pinang.

Mereka didakwa secara niat bersama memberi bantuan kepada satu pertubuhan haram, iaitu "Bersih 2.0" dengan membawa 600 helai salinan risalah haram.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pertubuhan 1966, [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan. Mereka juga menghadapi pertuduhan alternatif iaitu secara niat bersama telah memberi bantuan dengan membawa 600 helai salinan risalah yang mempunyai tulisan "Perhimpunan Bersih 2.0", bagi tujuan satu pertubuhan haram iaitu "Bersih 2.0" untuk kegunaan perhimpunan "Bersih 2.0" di Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Mereka turut hadapi pertuduhan dengan niat bersama membawa dokumen-dokumen subversif tanpa alasan yang sah mengikut Seksyen 29 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri [Akta 82] 1960, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bas di Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini pada 3.30 petang, 25 Jun lepas.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan pembelaan diketuai Datuk C.V. Prabhakaran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain