suria

Rosmah Nasihat Graduan Sambung Pengajian Sehingga Jadi Pakar

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan graduan supaya menyambung pengajian ke peringkat tertinggi sehingga menjadi pakar dalam bidang yang dipelajari mereka.

Isteri Perdana Menteri berkata graduan yang memiliki penguasaan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dapat mengecapi peluang kerjaya dan menjadi golongan profesional.

"Saya juga ingin mengingatkan para graduan agar tidak berpuas hati dengan ilmu dan kemahiran setakat yang ada.

"Jika diberi kesempatan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, teruskanlah usaha untuk menerokai ilmu sehingga menjadi seorang pakar," katanya ketika berucap merasmikan Konvokesyen Graduan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di sini, Rabu.

Rosmah turut menasihati mereka supaya sentiasa bersedia menerokai alam pekerjaan dengan kemahiran yang diperolehi dalam sesuatu bidang.

Mengenai bidang kejururawatan, beliau berkata jururawat tidak lagi dianggap sebagai kerjaya malah sebagai profesion penting yang mendapat permintaan tinggi dalam melaksanakan tugas merawat dan menjalankan prosedur klinikal.

Dalam pada itu, Rosmah menyarankan PICOMS mewujudkan program usahasama peringkat ijazah untuk penuntut antarabangsa khususnya dari negara-negara Islam.

"Dengan kestabilan ekonomi, infrastruktur, tenaga pelajar profesional dan kos pengajian yang kompetitif mampu menarik minat pelajar asing menuntut ilmu di PICOMS," katanya sambil berharap PICOMS menjadi institut yang diiktiraf di peringkat global.

Pada konvokesyen pertama PICOMS selepas penjenamaan semulanya tahun lepas, seramai 160 graduan menerima Diploma Kejururawatan daripada Rosmah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu, Firdaus Jam Jam, 27, yang merupakan graduan lelaki tunggal daripada lima penerima Anugerah Pelajar Cemerlang, berkata penganugerahan itu membuktikan profesion jururawat tidak terhad kepada wanita.

"Saya amat meminati profesion jururawat sejak dari kecil kerana bidang ini melibatkan kerja-kerja untuk berkhidmat demi kebajikan masyarakat dan dengan kerjaya ini dapat saya berbakti untuk masyarakat," katanya yang kini bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pusrawi di sini. - BERNAMA

Artikel Lain