suria

Baik Pulih Bangunan Parlimen Telan Belanja RM520 Juta

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata projek menaik taraf kompleks bangunan Parlimen yang dijangka siap pertengahan 2015 akan menelan belanjan sebanyak RM520 juta.

Menurut beliau kerja-kerja penambahbaikan tersebut yang dilaksanakan secara konvensional akan melalui tiga fasa bermula dengan kerja baik pulih dewan persidangan sementara dan pembinaan blok baru pejabat pentadbiran Parlimen setinggi tiga tingkat.

"Bagi kerja baik-pulih dewan derbaguna, ia sudah dimulakan 28 Mac dan siap 5 September lalu membabitkan kos projek sebanyak RM31 juta iaitu peningkatan sebanyak RM3 juta berbanding kontrak asal.

"Manakala pembinaan blok baru pejabat pentadbiran Parlimen yang akan menempatkan kira-kira 200 pegawai dan kakitangan Jabatan Parlimen akan dimulakan Jun tahun depan sehingga Disember 2013 membabitkan anggaran kos RM92 juta," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) yang ingin mengetahui kos keseluruhan projek baik pulih dan menaik taraf bangunan Parlimen.

Selain itu Shaziman berkata, bagi fasa kedua yang membabitkan kerja ubah suai di bangunan utama Parlimen sedia ada, termasuk blok menara akan membabitkan kos sebanyak RM180 juta.

"Skop projek fasa dua termasuk kerja baik-pulih bumbung puncak (pinnacle) Dewan Rakyat, penggantian panel fasad yang sudah berkarat, kerja naik taraf sistem mekanikal dan elektrikal dan pengubahsuaian ruang dalaman Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan tender akan dipangil selewat-lewatnya akhir tahun ini, " katanya sambil memaklumlan ia akan dimulakan pada suku pertama 2012 sehingga pertengahan 2015.

Manakala bagi fasa tiga yang membabitkan anggaran kos sebanyak RM200 juta adalah bagi membina blok bangunan baru setinggi lima tingkat dengan keluasan 59,000 meter persegi bagi menempatkan pejabat ahli Parlimen, bilik media, bilik kementerian dan kemudahan tempat letak kereta sebanyak 1,000 petak.

"Kerja pembinaan fasa tiga dijangka bermula April tahun depan dan siap dalam tempoh dua tahun sehingga April 2014.

"Berikutan tempoh kerja baik-pulih mengambil masa yang panjang sehingga pertengahan tahun 2015, saya ingin mengambil kesempatan memohon semua pihak supaya bersabar dengan ketidakselesaan yang mungkin timbul sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Artikel Lain