suria

KPWKM Kemuka Cadangan Ambil Warga Emas Bekerja - Shahrizat

SUNGAI PETANI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengemukakan cadangan untuk dimasukkan dalam belanjawan yang akan dibentangkan Jumaat ini supaya pihak swasta berminat mengambil warga emas bekerja.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kementeriannya turut mengemukakan beberapa cadangan bagi meningkatkan keberkesanan penyaluran bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti orang miskin dan kurang upaya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Warga Emas 2011 peringkat kebangsaan di Kompleks Penyayang Kuala Muda di sini hari ini, beliau berkata pihaknya juga menemui syarikat-syarikat tertentu antaranya Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) supaya mengambil warga emas menjadi jurutol.

"Mulai tahun lepas syarikat swasta yang mengambil warga emas bekerja diberi potongan cukai 10 peratus bagaimanapun tidak mendapat sambutan memuaskan atau mungkin kerana tidak diketahui.

"Saya harap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan mengumumkan sesuatu yang menarik minat mereka untuk menggaji warga emas selain beberapa inisiatif baru untuk golongan kurang bernasib baik termasuk warga emas dalam belanjawan yang akan dibentangkannya," kata Shahrizat.

Ketika berucap sebelum itu, Shahrizat berkata rakyat khususnya golongan warga emas hanya boleh menikmati hidup dengan aman sekiranya segala keperluan mereka pada hari tua disediakan secukupnya oleh kerajaan.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) cukup prihatin... kita bukan menabur janji. Kemudahan perubatan, bantuan kepada golongan miskin dan warga emas, orang kurang upaya, rumah perlindungan kanak-kanak dan wanita, semuanya disediakan.

"Selagi BN memerintah kebajikan golongan ini akan terus terpelihara," katanya. Beliau berkata kerajaan mahu masyarakat menjadi rakan kongsi pintar KPWKM supaya peruntukan besar RM1.4 bilion di bawah program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau Karisma untuk membantu golongan sasar tahun ini mencapai matlamat.

Shahrizat berkata daripada jumlah itu, RM433 juta disalurkan kepada 120,496 warga emas yang menerima bantuan RM300 sebulan. "Untuk Kedah sahaja kita belanjakan RM68 juta membantu hampir 41,000 penerima bantuan tahun ini... inilah kebajikan kerajaan BN. Kerajaan PAS Kedah pula belanjakan RM8 juta sahaja ke atas 8,000 penerima.

"Hari ini saya serahkan sumbangan di bawah Skim Insurans 1Azam berjumlah RM270,000 kapda ketua isi rumah manakala di Padang Serai selepas ini kita akan beri bantuan berjumlah RM6.1 juta kepada 1,212 penerima," kata Shahrizat.

Pada majlis itu juga beliau menyerahkan Anugerah Sukarelawan Warga Emas kepada 14 penerima.

Hadiah berupa wang tunai RM1,000 sumbangan Yayasan Kebajikan Negara, sepersalinan baju sumbangan Jakel Trading Sdn Bhd, sepasang subang mutiara sumbangan Habib Jewel dan sijil penghargaan. -BERNAMA

Artikel Lain