suria

Mangsa Tercampak, Dengar Letupan Seperti Filem Aksi

Terselamat... Tan (kiri) dan Chua menunggu untuk diambil keterangan oleh pihak polis selepas menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami mereka selepas kejadian ketupan di Empire Gallery. -Foto THE STAR
Terselamat... Tan (kiri) dan Chua menunggu untuk diambil keterangan oleh pihak polis selepas menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami mereka selepas kejadian ketupan di Empire Gallery. -Foto THE STAR
Terselamat... Tan (kiri) dan Chua menunggu untuk diambil keterangan oleh pihak polis selepas menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami mereka selepas kejadian ketupan di Empire Gallery. -Foto THE STAR

SUBANG JAYA: "Saya sangka seperti sudah mati". Itulah yang bermain di fikiran Daryl Chua selepas dia dan teman wanitanya tercampak beberapa meter dalam kejadian letupan di pusat membeli belah Empire Gallery, Subang.

Jurujual kereta berusia 27 tahun dari Sri Hartamas itu dan teman wanitanya, Hibbie Tan, 23, sedang berjalan ke arah mesin membayar tiket parkir selepas selesai minum kopi dekat sebuah kafe apabila kejadian berlaku.

"Semasa berjalan, kami mendengar letupan kuat seperti di dalam filem aksi dan kami tercampak sejauh beberapa meter," katanya pada Rabu.

Apabila tiada lagi bunyi letupan, Chua mendakwa terdengar bunyi penggera keselamatan, kaca dan tingkap berkecai, bahagian bumbung pecah kemudian jatuh disekeliling mereka.

Malah Chua juga menyedari banyak penutup saliran kumbahan tercabut.

"Pada mulanya saya fikir bangunan itu dibom. Nasib baik tiada serpihan yang mengenai kami.

"Apabila bangun saya mendapati terdapat luka dan lebam pada tangan dan lengan saya.

"Teman wanita saya terseliuh di bahagian buku lali. Dia juga mengalami luka dan lebam di bahagian kaki dan peha," katanya.

Kedua-dua mereka dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menerima rawatan pesakit luar.

Mereka bagaimanapun pulang semula ke tempat kejadian untuk memeriksa kereta yang diletakkan di kawasan parkir banggunan tersebut dan mendapati kedua-dua kereta mengalami kerosakan.

Bunyi letupan yang boleh didengari sejauh beberapa kilometer itu juga menggegarkan kawasan kejiranan berdekatan.

Penduduk SS17, Galvin Tan, 35, yang sedang menonton perlawanan bola sepak di televisyen berkata terdengar letupan yang menggegarkan barang-barang di rumahnya.

Dia yang terkejut kemudiannya bertanyakan kepada rakan-rakannya melalui akaun laman sosial twitter.

Tan yang merupakan seorang jurukamera kemudian menghubungi balai polis SS17, dan kemudian mengambil kameranya dan bergegas mencari tempat punca letupan berlaku.

Di tempat kejadian, dia mengambil gambar dan mengemaskini akaun twitter mengenai kemalangan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain