suria

Pas Jadikan Isu Hudud Sebagai Modal Pilihan Raya - Ahmad Maslan

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata isu pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam merupakan modal politik Pas yang lama dan ia dibangkitkan setiap kali menjelang pilihan raya.

Katanya rakyat tidak seharusnya mempercayai janji-janji dilontarkan oleh Pas kerana parti itu telah diberi peluang sebanyak lima kali untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan hingga sekarang namum gagal melaksanakannya dengan memberi pelbagai alasan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata buat masa ini Malaysia masih belum bersedia melaksanakan hukum hudud.

"Barisan Nasional (BN) tidak menentang hukum hudud tetapi menentang permainan politik Pas, ia adalah dua perkara yang berbeza, saya mencabar Pas atau DAP keluar dari pakatan pembangkang dan jangan hanya pandai bermain 'sandiwara politik' sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Bestari di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu.

Beliau berkata berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini bahawa beliau lebih rela jika DAP mahu keluar daripada gabungan pembangkang sekiranya tidak bersetuju dengan hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Ahmad berkata para pemimpin Umno dan semua anggota komponen BN sentiasa konsisten dengan apa yang dijanjikan dalam pilihan raya dan menunaikannya selepas membentuk kerajaan.

BN sentiasa menunaikan janjinya sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.

Ahmad berkata kesemua parti komponen BN juga menerima agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia malah negara-negara luar menjadikan Malaysia sebagai contoh sebuah negara Islam.

"Apa yang dibangkitkan oleh pembangkang ini sebenarnya adalah untuk mengalih perhatian dan menutup kelemahan mereka akibat pelbagai masalah yang dihadapi oleh pucuk pimpinan mereka, baik dari Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain