suria

Jadikan Membaca Satu Kebiasaan, Bukan Untuk Lulus Periksa:Ungku Aziz

KUALA LUMPUR: Penuntut Institusi Pengajian Tinggi harus menjadikan tabiat membaca, meminjam buku dan berulang-alik ke perpustakaan sebagai satu kebiasaan dan bukan hanya untuk lulus periksa semata-mata, kata Profesor Diraja Ungku Aziz pada Khamis.

Beliau berkata ini penting kerana kalau hendak menjadi seorang yang bijak, mestilah selalu membaca buku kerana tiada cara lain yang boleh menggantikan cara ini dalam menambah ilmu.

"Semasa belajar di peringkat sekolah, saya banyak meminjam buku di semua perpustakaan yang saya lawati. Malah, semasa saya bergelar seorang penuntut dan juga pensyarah, saya dan kawan-kawan masih suka meminjam pelbagai jenis buku dan yang paling saya minat ialah buku politik dan sejarah.

"Saya sedih melihat penuntut kini hanya membaca buku untuk lulus periksa malah ada juga yang menggunakan isi buku untuk diplagiat bagi menyiapkan tugasan mereka dan bukannya untuk menambah ilmu pengetahuan," kata bekas Naib Canselor Universiti Malaya itu ketika merasmikan Arkib Digital Universiti Malaya Memory di kampus UM di sini Khamis.

Justeru beliau menyeru kepada setiap penuntut dan juga pensyarah supaya menjadikan budaya membaca sebagai suatu rutin dalam kehidupan kerana hanya membaca dapat menambah ilmu seseorang.

Arkib Digital UM Memory itu merupakan arkib digital pertama di Malaysia yang menyimpan dan merekod pelbagai koleksi foto, audio, video dan dokumen UM sejak penubuhannya di Singapura pada 1905 sehingga perpindahannya ke Malaysia pada 1959 dan terkini.

Menurut Ketua Pustakawan UM, Dr Nor Edzan Che Nasir inisiatif mewujudkan sistem ini bermula sejak 2006 yang bertujuan untuk memelihara dan memulihara koleksi UM bagi tujuan penyelidikan.

Katanya perisian sumber terbuka dikenali sebagai Omeka digunakan dalam menguruskan koleksi digital tersebut dan lebih berkonsepkan kepada perisian Web 2.0 yang membolehkan masyarakat terutamanya alumni UM untuk berkongsi maklumat mengenai universiti sejak penubuhannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain