suria

Kawasan Sering Banjir, 200 Unit Rumah Bernilai RM30 Juta Dibina

BEAUFORT: Sebanyak 200 unit rumah semuanya berharga RM30 juta akan dibina di kawasan yang sering dilanda banjir di Beaufort.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata projek perumahan berkenaan akan dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di atas tanah seluas 8.1 hektar di Kampung Selagon, dekat sini.

Projek itu khusus bagi mereka yang sering terjejas dan terpaksa dipindahkan setiap kali daerah Beaufort dilanda banjir, katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort berkata rumah berkenaan akan dijual dengan harga murah kepada mereka yang layak atau disewakan.

"Bagi yang menyewa dan kemudiannya ingin membeli akan kita jual dengan harga berpatutan dan kelayakan orang yang membeli adalah mereka yang berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah," katanya.

Lajim berkata kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan RM3 juta bagi membina sebuah kompleks Kesenian dan Kebudayaan Bisaya dalam membantu mengembangkan sektor pelancongan daerah Beaufort.

Katanya, kerja pecah tanah pembinaan kompleks itu dijangka dimulakan penghujung tahun ini.

"Apabila siap nanti, kompleks ini akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan termasuk auditorium yang boleh memuatkan 500 orang, padang, pentas terbuka, ruang pameran dan gerai makanan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain