suria

Rompak & Bunuh Warga Jepun: Tiga Lelaki Cameroon Didakwa

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga Cameroon pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini terhadap dua pertuduhan menyebabkan kematian dan merompak warga negara Jepun, bulan lepas.

Bagi pertuduhan pertama Ndele Innocent Kufor, 27, Celestin Nzogne, 35, dan Balack Mabe Jean Paul, 20, didakwa dengan niat bersama telah menyebabkan kematian Miyashita Hirokazu, 51, di bilik bernombor 923, Hotel De Palma, Ampang Jaya dekat sini antara jam 12.30 dan 1 tengah hari, 22 Ogos lepas.

Tiga lelaki itu yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan iaitu mengambil dua telefon bimbit jenama Nokia serta wang tunai RM98,000 milik Miyashita Hirokazu dan Ryuzo Sakata dengan menggunakan senjata yang menyerupai sepucuk pistol.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat serta pada masa yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Dalina Ali memohon agar tiada jaminan dikenakan terhadap ketiga-tiga lelaki berkenaan memandangkan Balack tiada pasport manakala pasport dua tertuduh lagi iaitu Ndele dan Celestin perlu disahkan ketulenannya kerana Malaysia tidak ada kedutaan Cameroon.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan permohonan Dalina untuk tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh serta menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan bagi mereka melantik peguam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain