suria

Rakan Setugas Sifatkan Pemergian Noramfaizul Satu Kehilangan Besar

KUALA LUMPUR: Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BernamaTV yang maut akibat terkena tembakan curi ketika menjalankan tugas di Mogadishu, Somalia semalam, merupakan seorang insan yang disenangi kenalan kerana sikap peramah, tidak lokek dengan senyuman dan dedikasi terhadap kerja.

Rakan setugasnya menyifatkan pemergian Noramfaizul, sebagai satu kehilangan besar kepada bidang kewartawanan negara.

Ketua Jurukamera BernamaTV Ahmad Azmai Awang berkata Allahyarham yang dikenalinya sejak 1995 adalah seorang yang mudah didekati, tidak suka menyombong diri dan tegas dengan pendirian kerjanya.

"Sebelum ini sudah banyak misi kemanusiaan yang disertainya iaitu di Gaza, Palestin, Pakistan dan New Zealand. Saya tidak sangka misi kali ini beliau pergi buat selama-lamanya," katanya yang berkhidmat di BernamaTV selama 11 tahun.

Dilahirkan pada 14 November, 1971 di Gombak, Selangor, Noramfaizul, 39 ialah anak sulung daripada enam beradik, dan merupakan anak lelaki tunggal.

Allahyarham menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia dan Sekolah Menengah Agama Rawang sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Agama Klang, dan meneruskan pengajian di Guan Institute, Pudu.

Azmai berkata beliau teringat kata-kata arwah yang beriya-iya mahu membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran Somalia.

"Allahyarham kata, 'Aku bukan pergi untuk main-main, tetapi aku mahu pergi berjuang untuk negara.' Sebagai kawan, Allahyarham tidak lokek untuk menegur jika ada yang tidak betul pada pandangannya.

"Allahyarham memang seorang yang periang dan tidak pernah muram," kata Azmai yang tinggal serumah dengan arwah selama empat tahun mulai 1998.

Noramfaizul, meninggalkan isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki -- Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Rakan setugas yang juga jurukamera, Zulkarnain Kamaruddin, berkata beliau dan arwah sama-sama mengharungi "jatuh bangun" dalam kerjaya sebagai jurukamera, bermula di televisyen swasta MetroVision pada 1997.

"Kami sama-sama pergi temuduga di MetroVision. Selepas syarikat itu ditutup, kami menjadi jurukamera bebas untuk mencari rezeki.

"Yang paling menarik, kami diterima sebagai Artis Berjadual B5 di RTM selama tiga bulan sebelum ditawarkan jawatan tetap di BernamaTV pada tarikh yang tidak akan dilupakan, iaitu 3 Mac 2003," katanya kepada Bernama.

Allahyarham pernah berkhidmat di Filem Negara pada 1998 dan syarikat produksi Air Times Services dari 2000 hingga 2002.

Jurukamera BernamaTV Fazly Mostafa, yang membuat liputan penghantaran sukarelawan misi bantuan itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, 28 Ogos lepas, berkata beliau sempat bergurau dengan Allahyarham.

Menurut Fazly, arwah banyak berdiam diri sejak dari pejabat hingga ke saat menaiki pesawat, yang mengundangnya untuk memberitahu Allahyarham bahawa petugas lain boleh dihantar ke Somalia jika arwah keberatan untuk ke sana.

"Allahyarham menjawab,'Aku okay je, cuma jangan aku tak balik sudah'," kata Fazly dengan linangan air mata.

Beliau mengakui tidak berasa pelik dengan ungkapan arwah itu, tetapi tidak menyangka ia bertukar menjadi kenyataan.

Seorang lagi jurukamera BernamaTV, Suhaimi Mahadi, berkata arwah seorang yang meminati bidang sukan dan sering membuat liputan acara dan majlis melibatkan sukan.

"Saya masih ingat ketika bersama arwah tiga hari sebelum raya (27 Ogos), kami meninjau sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk melihat barangan serta pakaian yang dijual. Saya ikut kemahuan arwah kerana mengenali memang seorang yang suka berjalan," katanya.

Sementara itu, wartawan BernamaTV Mazizul Dani menyifatkan Allahyarham antara jurukamera paling bagus dalam merakamkan visual yang menarik.

Beliau tidak menduga laporan khas mengenai Pasar Chow Kit yang disiarkan hari ini adalah yang terakhir bersama arwah, yang membuat permintaan supaya namanya disebut ketika membuat 'stand upper', padahal perkara itu biasanya dibuat hanya untuk liputan di luar negara.

Dalam pada itu, wartawan BernamaTV yang pada asalnya ditugaskan untuk membuat liputan di Somalia, Siti Zanariah Nor Zin, berkata: "Allahyarham seorang jurukamera yang baik hati, kami sempat bermaaf-maafan.

"Saya memang puji sikap beliau yang berani dan berdedikasi dalam menjalankan tugas serta hubungan baik arwah dengan semua rakan sekerja."

Kejadian 5.40 petang waktu tempatan (pukul 10.40 waktu Malaysia), menyaksikan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul dan petugas media Malaysia lain, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia. - BERNAMA

Artikel Lain