suria

Mat Sabu Pentingkan Politik Kepartian Melebihi Kepentingan Nasional - Noh

TANJONG KARANG: Tindakan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang masih berdegil mempertahankan kenyataannya yang menganggap komunis sebagai hero negara disifatkan sebagai terlalu mengutamakan politik kepartian melebihi kepentingan nasional.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata sikap Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu yang mementingkan agenda politiknya itu dilihat amat berbahaya kerana boleh menimbulkan suasana yang tidak selesa kepada rakyat.

"Mat Sabu kena sekolah balik kerana masih keliru berkenaan sejarah pejuang kemerdekaan negara sehingga mengeluarkan kenyataan sesuka hati, malah mempertahankan perjuangan komunis yang tidak boleh diterima di negara ini," katanya pada sidang media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini Sabtu.

Kira-kira 10,000 tetamu menghadiri rumah terbuka yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut mempersoalkan pendirian Pas berhubung kontroversi yang dicetuskan Mat Sabu itu apabila beberapa pemimpin parti berkenaan seolah-olah menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Pas terbabit.

Beliau berkata sikap dan pendirian Pas itu menunjukkan mereka tidak faham mengenai perjuangan kemerdekaan negara serta tidak menghormati masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni tanpa sebarang ancaman dari anasir luar sejak negara mencapai kemerdekaan. - BERNAMA

Artikel Lain