suria

Dana RM2 Bilion Diwujudkan Untuk Inisiatif Projek Permulaan Syarikat Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan pengwujudan satu Dana Mudah Cara berjumlah RM2 bilion untuk kegunaan syarikat-syarikat Bumiputera yang berkelayakan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

"Pengwujudan Dana Mudah Cara berjumlah RM2 bilion ini adalah hasil kerjasama Teraju dan unit Kerjasama Awam-Swasta yang bakal dilancarkan untuk kegunaan inisiatif Projek Permulaan bagi syarikat-syarikat Bumiputera yang layak, mengikut syarat yang ditetapkan."

"Dengan wujudnya dana ini, adalah diharapkan bahawa isu pembiayaan yang menjadi salah satu kekangan syarikat-syarikat Bumiputera, dapat diringankan," kata Najib pada Mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera ke-lima, Jumaat.

Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Teraju di sini.

Dana itu akan menyediakan sokongan kepada Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) Bumiputera dan akan menjadi insentif tambahan bagi syarikat-syarikat yang memohon untuk mendapatkan bantuan di bawah program Teras yang dilancarkan Teraju pada 20 Julai serta inisiatif lain yang telah dan bakal diperkenalkan untuk syarikat-syarikat Bumiputera.

Dana berkenaan telah diwujudkan sebagai "tipping point" sesuatu projek, dengan menyediakan pembiayaan bagi insfrastruktur, agar PFI Bumiputera dapat memberi lebih tumpuan kepada pelaksanaan projek.

Dana itu akan menjadi pemangkin kepada syarikat Bumiputera untuk menjalankan projek-projek besar yang mempunyai tahap kelayakan minimum nilai pelaburan projek berjumlah RM20 juta.

Adalah diharapkan impak jumlah pelaburan itu akan juga membawa manfaat kepada syarikat permulaan serta enterpris mikro Bumiputera, untuk membolehkan mereka memperbaiki kedudukan masing-masing di dalam rantaian nilai.

Berdasarkan anggaran Teraju, dana itu dijangka menjana pelaburan asing lebih RM10 bilion. - BERNAMA

Artikel Lain