suria

K'jaan Cari Inisiatif Kurangkan Beban Rakyat

TEMERLOH: Kerajaan tidak akan mengambil sikap berpeluk tubuh sebaliknya mencari pelbagai insiatif bagi membantu meringankan beban rakyat dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu pada masa ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu menepati konsep keadilan sosial yang sentiasa diperjuangkan kerajaan demi kepentingan rakyat.

"Bagi Malaysia, segala program pembangunan masih boleh dilaksanakan, malah kita juga meluluskan peruntukan tambahan bagi beberapa program berkaitan kepentingan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Barisan Nasional (BN) Pahang di Dataran Tok Gajah di sini, Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta pemimpin-pemimpin BN Pahang.

Terdahulu, Najib mengadakan pertemuan selama 45 minit dengan pemimpin empat sayap Umno Pahang di Pejabat Umno Temerloh di Mentakab dekat sini.

Najib berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia, Rumah Rakyat 1Malaysia dan program sarapan dan makan tengah hari 1Malaysia.

"Memang pasaran dunia menentukan harga, tetapi kerajaan tidak bersikap peluk tubuh, kita tidak kata sebab pasaran dunia, kita tidak boleh buat apa-apa.

"Tetapi kita ambil keputusan, dalam keadaan sedemikian pun kita cari jalan, perah otak bagi melakukan sesuatu," katanya.

Perdana Menteri berkata, segala perancangan bagi membantu rakyat akan dapat dilaksanakan sekiranya BN terus diberi kepercayaan dalam mentadbir negara dan ini telah dibuktikan kepimpinan BN terdahulu yang berjaya membangunkan negara dan memberi keselesaan kepada rakyat.

"Kompleks perniagaan pun meriah sebab kita dah luluskan setengah bulan bonus pada penjaat awam, orang Felda pun dapat," katanya.

Dalam majlis yang dihadiri 10,000 tetamu itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi membaik pulih Masjid daerah Temerloh yang berusia 43 tahun dan RM5 juta bagi menaik taraf Dewan Tun Razak, Temerloh. - BERNAMA

Artikel Lain