KDN Akan Saman Ketua Wanita PKR - Semasa | mStar

KDN Akan Saman Ketua Wanita PKR

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan saman terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin ekoran dakwaannya bahawa Program 6P sebagai muslihat kerajaan menyeludup pengundi bagi pilihan raya akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata tindakan itu merupakan langkah kedua yang diambil kementerian setelah laporan polis dibuat terhadap Zuraida di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam pagi ini.

"Saya dengan ini memberi sokongan penuh kepada keputusan Jabatan Imigresen Selangor yang hari ini telah membuat laporan polis terhadap Yang Berhormat Zuraida sebagai langkah pertama sebelum tindakan lanjut diambil sebagai susulan.

"Tindakan ini adalah bukti bahawa kerajaan telus dan tidak berkompromi dalam dasar mempertahankan kedaulatan negara," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini Selasa.

Minggu lepas, Zuraida dipetik sebagai berkata, hasil siasatan PKR mendapati kerajaan mensyaratkan pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya membaca 'skrip bersumpah' dengan menyatakan sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian proses pemutihan.

Pada skrip itu, tertulis teks "Saya/suami/isteri/anak-anak tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/BN".

Justeru, Zuraida menyelar Program 6P sebagai muslihat jelas kerajaan untuk menyeludup pengundi sekaligus melabelkannya sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan negara.

Lee berkata sebelum ini, pihaknya sudah berulang kali meminta Zuraida mengemukakan bukti terhadap dakwaannya itu namun sehingga kini, tiada.

"Sebab itu, Jabatan Imigresen membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap dakwaan yang dibuat oleh Yang Berhormat Zuraida," katanya.

Lee berkata dakwaan yang dibuat oleh Zuraida adalah tuduhan berat kepada kerajaan kerana Program 6P hanya bertanggungjawab mengambil data biometrik untuk rasional keselamatan negara dan setiap PATI didaftarkan tanpa sebarang syarat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.