suria

Sindiket Curi Kereta Black Water: Empat Didakwa

KLANG: Empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket curi kereta mewah 'Black Water' dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Selasa, masing-masing atas 196 pertuduhan menerima dan menyembunyikan 98 kereta mewah pelbagai jenis, dua bulan lalu.

Wong Ooi Kay, 34; Sim Cee Wei, 39; Lau Kuan Zui, 39; dan Tan Ching Swee, 40, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Pengakuan semua tertuduh direkodkan di hadapan Hakim Siti Nor Sharida Awang dan Siti Noraida Sulaiman.

Bagi 95 pertuduhan pertama, semua tertuduh didakwa menerima 95 harta curi, iaitu kereta-kereta terbabit pada pukul 5 petang, 29 Jun 2010 di gudang beralamat nombor 1, Kampung Black Water, Off Jalan Banting-Klang, dekat sini.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan sama untuk tiga lagi pertuduhan pada pukul 6 petang, tarikh yang sama di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, di sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua mereka juga didakwa atas 98 pertuduhan menolong menyembunyikan semua 98 kereta curi tersebut di lokasi yang sama dengan sengaja di bawah Seksyen 414 kanun yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kereta-kereta yang terlibat dalam kes ini terdiri daripada 59 buah Honda City, Toyota Hilux (22), Honda CRV (7), Toyota Rush (2) dan masing-masing sebuah Honda Accord dan Toyota Fortuner.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff memohon agar mahkamah menetapkan jaminan terhadap setiap tertuduh pada jumlah RM10,000 untuk satu pertuduhan.

"Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan merupakan satu jenayah yang terancang," katanya yang mengendalikan pendakwaan bersama-sama Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nur Azizah Jaafar dan Mohamed Shah Reza Noor Azman.

Hakim Siti Nor Sharida dan Siti Noraida membenarkan permohonan itu dan menetapkan sebutan semula pada 21 September dan 12 Oktober ini.

Secara keseluruhan, semua tertuduh perlu membayar RM7.84 juta jika mahu dibebaskan sementara menunggu perbicaraan.

Pada 1 Julai lalu, media melaporkan bahawa serbuan dilakukan di sebuah gudang kosong di Kampung Black Water menjumpai semua kereta tersebut yang dilaporkan dicuri.

Semua kereta tersebut dianggarkan bernilai lebih RM8 juta.

Serbuan yang dilakukan sehari sebelum ini juga mendapati terdapat empat kontena yang berisi lima kereta mewah yang dijangkakan akan dieksport menerusi Pelabuhan Klang, di sini.

Artikel Lain