suria

Subramaniam Gesa Agensi Perladangan Naikan Gaji Pekerja

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berharap lebih banyak agensi-agensi perladangan dalam negara mengikut jejak langkah Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (Mapa) meningkatkan gaji pekerja.

Beliau berkata pihaknya berharap untuk berjumpa dengan semua agensi-agensi berkaitan yang bukan anggota Mapa, untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Saya rasa peringkat berikutnya ialah untuk meminta agensi-agensi yang bukan anggota Mapa untuk mengkaji semula sistem bayaran gaji mereka supaya ia selaras dengan apa yang diumumkan oleh Mapa," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya beliau tidak mempunyai angka sebenar agensi yang terlibat, namun menganggarkan jumlahnya cukup besar, kebanyakkannya terdiri daripada pengusaha-pengusaha kecil.

Mapa sebelum ini mengumumkan kenaikan gaji 10 peratus sehingga RM650 sebulan, di samping memperkenalkan skim pembayaran ganjaran khas/tambahan RM200 sebulan buat 157,270 pekerjanya.

Langkah itu menyaksikan pekerja Mapa menerima gani bulanan minimum RM850 mulai bulan depan.

Subramaniam berkata pihak kementerian juga dijadualkan menemui Mapa tidak lama lagi untuk berbincang mengenai permohonan Mapa untuk mengecualikan sumbangan RM200 KWSP dan Perkeso.

Terdahulu Subramaniam yang merupakan Timbalan Presiden MIC merasmikan Persidangan pertama International Astrology Vasthu di sini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain