suria

Muhyiddin Terima Kunjungan Enam Lagi Duta Baru

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kunjungan hormat enam lagi duta besar yang baru dilantik di pejabatnya di sini.

Mereka ialah Timbalan Ketua Setiausaha III Kementerian Luar Datuk Zainuddin Yahya, yang dilantik Duta Besar Malaysia ke Belgium, dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan Asean-Malaysia Ahmad Shahizan Abdul Samad, yang bakal bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Bahrain.

Turut melakukan kunjungan ialah Duta Besar Malaysia ke Peru yang baru Ayauf Bachi, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Protokol di Jabatan Protokol dan Konsular.

Selain itu, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi/Ketua Canseri Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura Dr Ahmad Faisal Muhamad, yang baru dilantik Duta Besar Malaysia ke Myanmar.

Setiausaha Bahagian Direktorat Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala, Kementerian Luar Datuk Azmi Mohd Zabidi pula bakal menjadi Duta Besar Malaysia ke Vietnam manakala Setiausaha Bahagian (Politik Pelbagai Hala) Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala di kementerian sama iaitu S.Ganesaon sebagai Duta Besar Malaysia ke China.

Sebelum ini, tujuh duta besar dan pesuruhjaya tinggi yang baru dilantik turut mengunjungi Muhyiddin pada 21 Julai lepas. -BERNAMA

Artikel Lain