suria

MIC Mesti Pilihan Utama - PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu MIC dilihat sebagai sebuah parti yang kuat dan menjadi pilihan utama masyarakat India di negara ini.

Justeru, Perdana Menteri mengingatkan anggota MIC supaya bersatu padu dan tidak berpuak-puak kerana mereka mempunyai peranan untuk berkhidmat kepada masyarakat India, sekaligus dapat menarik sokongan kaum itu terhadap Barisan Nasional (BN).

"Kalau kita hendak menentukan MIC parti pilihan utama kaum India di negara ini, MIC mesti bersifat inkslusif dan mesti merupakan sebuah parti di mana tidak ada puak dalam MIC. Perlu ada satu MIC sahaja.

"Kalau kita tengok perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Singapura, kita tengok walaupun kita ada penyerang yang hebat...kalau pertahanan lemah..gol kita bocor. Kita tidak berjaya.

"Maknanya kalau MIC mahu kuat, kepimpinan di semua peringkat mesti bergerak sebagai satu pasukan yang padu. Barulah MIC akan menjadi sebuah parti yang kuat," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-65 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Sabtu.

Turut hadir, Presiden MIC Datuk G.Palanivel dan bekas presiden parti berkenaan, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Najib berkata berdasarkan kepada beberapa pilihan raya kecil lepas, beliau mempunyai keyakinan terhadap pucuk pimpinan baru MIC dalam menarik kembali sokongan masyarakat India kepada BN.

Katanya pelbagai program yang dilaksanakan MIC sebelum ini, antaranya MyDaftar telah mendapat sambutan daripada masyarakat India dan program-program seumpama itu perlu diperbanyakkan lagi.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedar sumbangan masyarakat India dalam pembangunan negara sebelum ini, terutamanya dalam sektor perladangan getah, pembinaan landasan kereta api serta jalan raya dan kerajaan akan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan menerusi MIC akan terus melaksanakan pelbagai program untuk pembangunan masyarakat India di negara ini.

"Peribahasa Tamil menyatakan 'Ottrumaiyee Balam' (Perpaduan adalah Kekuatan), kalau kumpulan ini (MIC) tidak berjaya, kita tidak boleh harapkan kumpulan lain. Semua 3,700 cawangan (MIC) tolong jalankan tugas anda," katanya. BERNAMA

Artikel Lain