suria

Lesen Pra-Operasi Belum Dikeluarkan Kepada Lynas - Mustapa Mohamed

KUANTAN: Kerajaan belum mengeluarkan lesen praoperasi kepada Lynas Corporation Ltd bagi memproses nadir bumi di Gebeng, meskipun panel Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memutuskan kilang syarikat itu selamat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata lesen itu tidak akan dikeluarkan selagi kerajaan tidak berpuas hati dengan pematuhan oleh syarikat berkenaan terhadap langkah penambahbaikan yang dicadang IAEA.

"Kita sudah tubuhkan satu pasukan petugas untuk mempastikan segala perakuan yang dibuat oleh panel IAEA pada akhir Jun lepas dipatuhi, jika tidak, tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd, Ahad.

Beliau berkata pasukan berkenaan akan memantau secara rapi bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya di sekitar Kuantan, terjamin.

"Dengan adanya perakuan oleh IAEA ini, kita percaya masyarakat Kuantan akan mempunyai lebih keyakinan tentang keselamatan operasi Lynas, dan kerajaan akan pastikan perakuan tersebut dipatuhi," katanya.

Isu kilang itu mencetuskan kontroversi apabila beberapa pihak membantah pembinaannya kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Bagaimanapun, IAEA baru-baru ini memutuskan kilang itu adalah selamat, namun syarikat Australia tersebut perlu melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan sebelum meneruskan operasi. - BERNAMA

Artikel Lain