suria

PDRM Tidak Halang Mohamad Sabu Saman Polis – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Polis tidak menghalang hasrat Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dilapor mahu menyaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dakwaan dilanggar sebuah kereta polis semasa perhimpunan haram di ibu negara, 9 Julai lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak boleh menghalang mana-mana pihak atau individu yang mahu menyaman PDRM termasuk oleh anggota dan pegawai polis sendiri.

"Itu hak individu, kita (PDRM) tak menghalang (saman). Kita agensi yang profesional.

"Kita dah jalankan tugas kita dengan memberi penjelasan dan gambaran apa yang berlaku itu semalam (tayangan video)...terpulang kepada mana-mana pihak untuk buat penilaian," katanya pada sidang media selepas majlis Penganugerahan Balai League Table (BLT) Siri 1/2011 di sini hari ini, bagi balai polis terbaik seluruh negara.

Ismail berkata demikian sebagai mengulas mengenai komen Mohamad di dalam sebuah portal pembangkang yang mahu menyaman polis selepas didakwa melanggar motosikal yang diboncengnya pada perhimpunan haram tersebut.

Polis semalam menyiarkan rakaman video yang menunjukkan motosikal yang dibonceng Mohamad tidak dilanggar Pajero polis seperti didakwa tetapi ketika melakukan pusingan U, motosikal itu terkena 'fender' Pajero polis di kawasan Perumahan Seri Persekutuan, yang akhirnya menyebabkan motosikal itu hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

Ketika ditanya sama ada polis akan mengambil tindakan ke atas laporan polis palsu dibuat Mohamad berhubung isu perlanggaran tersebut, Ismail berkata:"Siasatan masih dijalankan ke atas dakwaan itu. Kita tak buat andaian report polis itu palsu.

"Siasatan juga masih dijalankan terhadap individu tertentu berhubung kait dengan kesalahan yang berlaku semasa perhimpunan itu...tunggulah apabila lengkap hasil siasatan kita nanti," katanya.

Mengenai rancangan pertubuhan tidak berdaftar Bersih untuk mengadakan perhimpunan haram di Putrajaya seok, Ismail berkata polis akan tetap menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

"Saya nasihatkan pada mereka yang masih mahu menggusarkan hati rakyat, tak perlulah...Walau apa pun, kita beri jaminan kita akan pantau keadaan. Kita juga tak akan gentar untuk mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian ke atas sesiapa pun," katanya. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain