suria

Polis Tahan Lelaki Curi Barang Elektronik Dalam Bas

BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai aktif mencuri barangan elektronik dalam bas yang diletakkan di kawasan berhampiran Pusat Renang Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di sini dan merampas alat elektrik bernilai lebih RM20,000 dalam satu operasi awal pagi Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Barat Daya DSP Lai Fah Him berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan ketika dia sedang memindahkan barangan yang dicuri ke dalam keretanya pada pukul 1.30 pagi.

Beliau berkata sepasukan anggota polis yang menjalankan tugas Ops Pintu/Rentap bergegas sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kegiatan lelaki terbabit dan ketika polis sampai, lelaki itu sedang memunggah barang yang dicurinya dari sebuah bas persiaran ke dalam kereta miliknya.

Lai memberitahu pemberita di sini hari ini, lelaki yang berasal dari Bukit Tengah, Bukit Mertajam dekat sini itu gagal melarikan diri kerana pasukan polis telah mengepungnya.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta lelaki itu, polis menemui pelbagai barangan yang dicuri antaranya televisyen LCD, pemain DVD, AMP, penukul, pemutar skru dan gunting," katanya. Lai berkata hasil siasatan lanjut, polis turut menemui pelbagai lagi barangan curi di rumah lelaki itu di Bukit Tengah, antaranya dua buah televisyen plasma, dua pemain DVD, empat power AMP dan setengah guni wayar pelbagai warna.

"Lelaki itu yang pernah bekerja sebagai pemandu bas kilang menjalankan kegiatan berkenaan sejak beberapa bulan lepas seorang diri dan menjual barangan yang dicurinya kepada rakan-rakannya," katanya.

Beliau berkata lelaki yang turut mempunyai rekod jenayah berkaitan curi itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. -BERNAMA

Artikel Lain