suria

MEF Saran Perkeso Naikkan Carumah Pekerja Byat Tuntutan

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan agar kenaikan caruman Perkeso dilakukan terhadap pekerja yang membuat tuntutan dan boleh kembali bekerja seperti biasa.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata bagi pekerja yang tidak membuat tuntutan, MEF mencadangkan kadar caruman mereka diturunkan secara berkala.

"Dengan melaksanakan kaedah ini, Perkeso diharap dapat mengimbangi jumlah bayaran pampasan kepada pekerja dan jumlah caruman yang diterima," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar kenaikan itu diharap tidak membebankan pekerja dan Perkeso perlu mengkaji lebih banyak cara untuk mencegah kemalangan di tempat kerja dengan lebih berkesan.

Katanya, apabila kemalangan di tempat kerja berkurangan, bayaran pampasan juga akan menurun, dan ini tentu boleh membantu Perkeso mengimbangi pampasan yang dibayar.

Shamsuddin turut meluahkan kebimbangan jika kadar caruman Perkeson dinaikkan kerana ia boleh menyebabkan kos menjalankan perniagaan di negara ini meningkat.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fadhilat Herbs Enterprise Asnawi Ghazali berkata jika caruman Perkeso pekerja dan majikan dinaikkan, Perkeso diharap dapat meningkatkan jumlah pampasan terutama kepada pekerja yang berdepan kecacatan kekal.

"Kebanyakan tuntutan Perkeso yang saya lihat melibatkan masalah kesihatan yang membuatkan seseorang itu tidak boleh kembali bekerja, bila mereka mengalami hilang upaya kekal ini, mereka hanya mengharapkan pampasan hilang upaya yang diterima Perkeso untuk menyara hidup," katanya.

Beliau berkata majikan bakal berdepan kenaikan kos perniagaan jika caruman itu dinaikkan, namun jika kemalangan itu menimpa pekerja mahir, majikan sudah tentu sanggup mengeluarkan caruman yang lebih tinggi kepada Perkeso bagi memulihkan pekerja berkenaan.

Rata-rata pekerja dan wakil kesatuan pekerja yang dihubungi Bernama hari ini bersetuju jika caruman itu dinaikkan bagi mengimbangi jumlah bayaran pampasan kepada pekerja, asalkan ia tidak membebankan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan berkata kenaikan caruman itu perlu diimbangi dengan penambahan perkhidmatan dan penambahbaikan sistem pengurusan Perkeso.

"Kenaikan ini perlu dalam kadar yang munasabah. Selain pekerja dapat faedah tambahan yang lain, kenaikan ini juga perlu memberikan satu nilai tambah kepada Perkeso sendiri," katanya.

Beliau berkata selain itu, Perkeso perlu meningkatkan perkhidmatan sedia ada seperti mempercepatkan proses tuntutan pampasan.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Telekom Malaysia (NUTE) Mohd Jafar Abd Majid berkata caruman Perkeso ketika ini dilihat berada pada tahap agak rendah dan dikhuatiri tidak selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

"Bila kos sara hidup meningkat, sekarang kos Perkeso sediakan perkhidmatan juga meningkat, jadi bila caruman kekal, bagaimana Perkeso hendak tanggung kos tambahan itu, jadi ada kenaikan, tetapi kenaikannya perlu tidak ketara sampai susahkan pekerja," katanya.

Allison Lai, 28, berkata pekerja yang bergantung kepada perlindungan Perkeso kebanyakannya dari golongan 'kolar biru' yang melakukan pekerjaan berisiko, namun mereka kurang mampu mendapatkan perlindungan lain seperti insurans.

"Bila caruman dinaikkan, diharap mereka dapat perlindungan yang lebih daripada Perkeso, dan mungkin jika boleh pampasan yang lebih. Kenaikkan itu janganlah terlalu tinggi sampai lebih kurang sama dengan insurans, kerana ini boleh membebankan mereka," katanya yang bertugas dalam bidang penerbitan.

Beliau berkata Perkeso juga perlu mengadakan lebih banyak program untuk memaklumkan kelebihan dan faedah yang diberikan seperti Program Kembali Semula Bekerja, yang melatih pekerja cacat akibat kemalangan di tempat kerja.

Pekerja dalam bidang audio-visual Mohamed Raffi Bachik, 37, pula berkata jika caruman Perkeso dinaikkan, Perkeso diharap dapat bergerak dengan lebih berkesan dalam membela nasib pekerja di negara ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata kementerian itu sedang mengkaji kaedah terbaik bagi meningkatkan kutipan caruman Perkeso untuk mengimbangi jumlah bayaran pampasan kepada pekerja. -BERNAMA

Artikel Lain